PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA,
PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023
PERTANYAAN : BERTULIS
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta KEMENTERIAN PELABURAN PERDAGANGAN DAN INDUSTRI menyatakan
1.
a. statistik Pelaburan Langsung Asing (FDI) untuk tahun 2019-2022 mengikut pecahan negeri (bagi negeri Melaka, mohon disenaraikan nama dan syarikat projek-projek FDI tersebut); dan
b. apakah langkah-langkah baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan kadar FDI di Malaysia
JAWAPAN
Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa komited menggembleng usaha menggalakkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi ke dalam negara.
Bagi tempoh tahun 2019 sehingga tahun 2022, jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama bernilai RM952.9 bilion. FDI kekal sebagai penyumbang utama iaitu sebanyak RM521.1 bilion atau 54.7% manakala pelaburan domestik menyumbang RM431.8 bilion atau 45.3%. Sektor perkilangan menyumbang sebanyak RM358.7 bilion atau 68.8%, sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak RM141.1 bilion atau 27.1%, dan sektor utama menyumbang sebanyak RM21.4 bilion atau 4.1%;
Bagi tempoh sama, negeri Melaka telah menerima jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM19.9 billion, dengan sektor perkilangan menyumbang sebanyak RM13.8 billion atau 69.5%, diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak RM6 billion atau 30.1% dan sektor utama sebanyak RM66 juta atau 0.3%. Daripada 19.9 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan di negeri Melaka ini, 59.5% atau RM11.9 bilion merupakan FDI, di mana:
i. sektor perkilangan mencatatkan FDI bernilai RM11.6 bilion atau 97.9%, diikuti sektor perkhidmatan bernilai RM232.9 juta atau 2%, dan sektor utama bernilai RM13.7 juta atau 0.1%. Antara negara utama yang menyumbang FDI ke negeri Melaka adalah Belanda (RM8.2 bilion), Jepun (RM843.9 juta), Switzerland (RM625.3 juta) dan Jerman (RM385.1 juta); dan
ii. antara projek syarikat asing utama adalah Texas Instruments Electronics, Infineon Technologies (Malaysia), dan Sunpower Malaysia Manufacturing di dalam sub-sektor elektrikal dan elektronik.
Antara langkah-langkah baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan bagi meningkatkan kemasukan FDI termasuklah:
i. Melaksanakan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). NIA akan mendorong pertumbuhan jangka panjang untuk Malaysia melalui kemasukan pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu dan kompleks. NIA juga memberi tumpuan kepada keterangkuman dan kemampanan yang serasi dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG);
ii. Penggubalan Pelan Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030;
iii. Promosi pakej galakan cukai baharu dan menambahbaik pakej galakan cukai sedia ada. Di dalam Belanjawan 2023, Kerajaan telah menawarkan Galakan Cukai bagi Pengilang Peralatan Pengecasan untuk Kenderaan Elektrik serta menambahbaik Elaun Modal Automasi yang kini meliputi adaptasi elemen Industri 4.0, sektor pertanian serta had perbelanjaan yang dipertingkat sehingga RM10 juta; dan
iv. Pelaksanaan Kajian Penstrukturan Semula Insentif Cukai untuk memastikan penyeragaman insentif dilaksana dengan efisyen di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Penggalakan Pelaburan 1986 bagi memastikan ianya kekal relevan, tangkas dan berdaya saing seiring dengan perubahan teknologi selaras dengan standard percukaian antarabangsa.
Kerajaan juga melalui MITI dan MIDA sentiasa mengambil pendekatan proaktif dan responsif dalam memberikan nasihat dan sokongan, termasuklah pelbagai aspek fasilitasi yang diperlukan melalui mekanisme pemantauan seperti berikut:
i. memudah, mempercepatkan dan memantau proses kelulusan projek perkilangan melalui Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) di MIDA;
ii. mempercepatkan kelulusan dengan kerjasama erat daripada pelbagai agensi bagi pelaksanaan projek pelaburan di setiap peringkat Kerajaan pusat, negeri dan daerah melalui Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) di MIDA dan pelbagai platform digital lain;
iii. memperkenalkan inisiatif memudahkan urusan menjalankan perniagaan (ease of doing business) seperti Inisiatif #MyMudah sebagai langkah bukan fiskal menerusi langkah-langkah yang efektif dalam mengurangkan beban peraturan tidak wajar dan mengurangkan kos perniagaan; dan
iv. pemantauan rapi di peringkat tertinggi dan menjadi agenda tetap di dalam mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.
Kerajaan sentiasa komited dan proaktif dalam melaksanakan misi-misi pelaburan bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai hab inovasi global berteknologi tinggi dengan ekosistem pelaburan yang berdaya tahan dan mampan. Ini juga adalah selaras dengan kerangka Malaysia MADANI yang mendorong pembangunan keupayaan yang lestari dan pemindahan teknologi melalui jalinan kerjasama luar, dalam sektor berpotensi dan berkepentingan strategik, ke arah memacu ekonomi yang berasaskan kesejahteraan terangkum.
Sekian, terima kasih.

