PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEDUA
PARLIMEN KELIMA BELAS 2023
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN menyatakan :
(a) situasi terkini pasaran/sektor ayam dan telur di Malaysia; dan
(b) apakah langkah-langkah yang telah/akan diambil oleh Kementerian untuk memperkasakan sektor ini bagi mengukuhkan keterjaminan makanan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bekalan ayam dan telur diunjurkan stabil bagi suku pertama tahun 2023. Pada suku pertama tahun 2023, terdapat purata lebihan ayam sebanyak 16,846,447 ekor sebulan berbanding keperluan sebanyak 75,004,487 ekor sebulan. Manakala bagi telur, terdapat lebihan sebanyak 119,856,950 biji telur berbanding keperluan 1,004,506,942 biji telur.
Bagi memperkasakan sektor ini untuk mengukuhkan keterjaminan makanan, KPKM melaksanakan langkah jangka pendek dan jangka panjang seperti berikut:
(a) Jangka pendek
i. memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur untuk membantu mengatasi kenaikan kos pengeluaran, mulai 5 Februari 2022 hingga 31 Disember 2022. Sehingga 15 Februari 2023, sebanyak 18,880 permohonan bernilai RM1.69 bilion subsidi telah diluluskan kepada penternak;
ii. membenarkan pengimportan telur dari luar negara mulai Disember 2022;
iii. membenarkan pengimportan anak ayam (Day Old Chick – DOC) atau telur bernas dari negara Brazil, New Zealand, Perancis dan Australia bagi memastikan stok pengganti ayam penelur mencukupi.
(b) Jangka panjang
i. mengurangkan kebergantungan kepada sumber jagung import sebanyak 30% menerusi inisiatif penanaman jagung bijian dalam negara yang berkeluasan sehingga 80,000 hektar dengan sasaran pengeluaran jagung bijian tempatan sebanyak 1.44 juta tan metrik menjelang tahun 2032;
ii. menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan mentah gantian dari sumber tempatan berasaskan isirung sawit seperti PKC/PKE;
iii. melaksanakan kajian bagi makanan ternakan ayam berasaskan sumber alternatif larva Black Soldier Fly (BSF) di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); dan
iv. menawarkan pinjaman mudah melalui Agrobank sebanyak RM300 juta kepada penternak ayam melalui Dana Pembiayaan Agromakanan untuk membantu penternak mengatasi masalah modal pusingan kewangan yang terjejas akibat kenaikan kos pengeluaran.
Sekian, terima kasih.

