PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan perkembangan terkini siasatan mengenai kes imigresen di KLIA yang berlaku pada 29 Jun 2023 baru-baru ini.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hasil siasatan terhadap kes kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun 2023 adalah berpunca daripada salah faham antara pegawai Imigresen yang bertugas dengan pelawat dari China berhubung isu tiket penerbangan pulang. Walau bagaimanapun, kes ini telah diselesaikan dengan baik.
Sebagai langkah penambahbaikan, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia telah mengambil tindakan seperti berikut:
(i) mengkaji semula SOP berkaian pengurusan pelawat asing yang dikenakan notis NTL;
(ii) menetapkan arahan bahawa NTL hanya boleh dikeluarkan oleh Pegawai Gred 41 dan ke atas bagi memastikan keputusan NTL dibuat oleh pegawai kanan Imigresen;
(iii) penambahan 45 orang pegawai baharu yang telah tamat latihan pada September 2023;
(iv) pewujudan kaunter helpdesk oleh Tourism Malaysia bagi menempatkan pegawai-pegawai yang boleh berbahasa asing bagi membantu pelawat yang tidak boleh berbahasa Inggeris;
(v) penambahan 12 kaunter imigresen termasuk dua kaunter pemerhati bagi melancarkan lagi urusan kemasukan pelancong di KLIA. Ini merupakan kerjasama strategik antara Malaysia Airports Holding Berhad dan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Kerja-kerja pembinaan dijangka selesai pada penghujung November 2023; dan
(vi) penamatan perkhidmatan syarikat sedia ada yang mengendalikan holding lounge bagi pelawat asing yang dikenakan notis NTL.

