PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2022)
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
(a) bilangan sesi libat urus atau mesyuarat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dengan parti-parti politik untuk tahun 2020-2022 (disenaraikan tarikh, parti politik dan isu dibincangkan untuk setiap sesi); dan
(b) pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh SPR untuk menambah baik proses pilihan raya Malaysia.
JAWAPAN
YB DATO’ SRI HAJI WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (PARLIMEN DAN UNDANG-UNDANG)
Tuan Yang di-Pertua,
(a) Sesi Libat Urus Parti Politik Tahun 2020-2022
Sesi libat urus Berhubung Pelaksanaan Umur Pengundi 18 Tahun Dan Pendaftaran Pemilihan Secara Automatik kepada YB Ahli Parlimen yang mewakili pelbagai parti politik telah diadakan pada 8 Disember 2021 kepada YB Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sesi libat urus yang sama turut diadakan dengan semua YB ADUN di semua negeri yang mewakili pelbagai parti politik seperti berikut;

Walaupun sesi libat urus ini pada asalnya menjelaskan perkara-perkara berkaitan pelaksanaan umur pendaftaran pemilih secara automatik, tetapi banyak persoalan mengenai penjalanan pilihan raya dan persempadanan dikemukakan dan diberi penjelasan yang sewajarnya.
(b) Pembaharuan Proses Pilihan Raya
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR telah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi memastikan penjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus. Di antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh SPR adalah seperti berikut:
(i) Mewujudkan saluran khusus pepada pengundi 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU)
Saluran 1 dan 2 di pusat mengundi adalah dihadkan kepada 450 orang pemilih sahaja dan ia merupakan saluran saluran khusus kepada pengundi 60 tahun ke atas dan OKU.
(ii) Pemanjangan tempoh pengundian
Tempoh masa pengundian dipanjangkan selama 60 minit dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang bagi semenanjung Malaysia, 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak berbanding pada PRU Ke-14 iaitu 8.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja. Pemanjangan tempoh masa ini dapat memberi masa yang mencukupi kepada pemilih untuk membuang undi.
(iii) Penambahan pusat mengundi dan saluran
Berikutan pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, SPR juga telah mengambil inisiatif untuk menambah jumlah pusat mengundi dan saluran sedia ada. Hal ini adalah bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat mengundi kelak.
(iv) Pemansuhan syarat undi pos luar negara
Syarat-syarat kelayakan pengundi pos Kategori 1B (Luar Negara) seperti yang dilaksanakan pada PRU ke-14 telah dimansuhkan iaitu:
(a) bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia; dan
(b) pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima (5) tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Negeri yang sedang berkuat kuasa.
Dengan pemansuhan syarat-syarat ini, warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan telah disahkan sebagai pemilih adalah layak untuk memohon sebagai pengundi pos.
Sekian, terima kasih.

