PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka] minta Menteri Kesihatan menyatakan:
(a) senarai nama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega yang telah beroperasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan; dan
(b) lokasi, nama pemilik, jumlah bayaran sewa dan penanggung bayaran sewa untuk setiap lokasi PPV Mega tersebut.
JAWAPAN
Timbalan Menteri Kesihatan II [Datuk Aaron Ago Dagang]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pelaksanaan vaksinasi melalui PPV Mega berkapasiti tinggi iaitu 3,000 dos sehari ke atas adalah bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan kadar vaksinasi negara. PPV Mega yang dikendalikan oleh CITF ataupun COVID-19 Immunisation Task Force melibatkan pengamal perubatan swasta di bawah ProtectHealth adalah sebanyak 41 PPV di seluruh negara. Walau bagaimanapun, kesemua PPV Mega ini di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah ditutup pada bulan Oktober 2021.
Untuk makluman Yang Berhormat, senarai PPV Mega di seluruh negara adalah seperti berikut.
Di Johor ada lima seperti Persada Johor International Convention Centre, Universiti Tun Hussein Onn dan sebagainya. Di Kedah ada dua iaitu Langkawi International Convention Centre dan Amanjaya Sports Arena. Di Kelantan ada satu, di Melaka ada dua iaitu Stadium Mini Majlis Perbandaran Jasin dan Stadium Hang Tuah Melaka Tengah.
Di Negeri Sembilan ada satu, di Pulau Pinang ada dua, di Sabah ada dua seperti Dewan Masyarakat Tawau. Di Sarawak, ada satu sahaja iaitu Borneo Convention Centre Kuching. PPV Mega yang banyak adalah di Selangor 17 seperti The Mines International Exhibition and Convention Centre, UiTM Shah Alam, Multimedia Universiti Cyberjaya dan sebagainya.
Di Terengganu, ada tiga seperti Stadium Tertutup Gong Badak. Di Wilayah Persekutuan ada lima seperti di Kuala Lumpur Convention Centre, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Putra World Trade Centre Kuala Lumpur. Senarai ini adalah ada di dalam jawapan dan akan diberi kepada Yang Berhormat.
Berhubung pelaksanaan PPV di negeri-negeri yang dahulunya dilaksanakan oleh pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), perkara ini diuruskan oleh pihak kerajaan negeri masing-masing melalui platform CITF di peringkat negeri. Anggaran kos vaksinasi adalah RM14 seorang penerima vaksin yang dibayar terus kepada pengamal perubatan swasta.
Manakala anggaran kos penetapan PPV Mega adalah tidak melebihi RM15 seorang yang meliputi kos sewaan, kos utiliti, perkakasan untuk pengoperasian PPV sebagai contoh laptop, kerusi, meja, fotostat dan sebagainya dan juga bahan pakai habis seperti face shield, face mask, sanitizer, pembersihan dan sanitasi serta makan minum petugas yang dibiayai oleh CITF. Terima kasih.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]:
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya soalan saya ada dua bahagian. Satu bahagian saya tanya tentang kadar sewa PPV tersebut tetapi tidak dijawab. Saya tidak tahu sama ada nanti dalam jawapan yang lengkap akan diberikan.
Soalan saya, kalau kita lihat soalan saya Tuan Yang di-Pertua, bahagian (b) saya tanya lokasi, nama pemilik dan jumlah bayaran sewa. Contohnya PWTC kita sewa tempat tersebut dijadikan sebagai Mega PPV, jadi berapakah sewa yang kita bayar untuk PWTC contohnya. Sebab saya dimaklumkan PWTC satu hari sewanya ialah RM50,000 satu hari untuk sewa, bayar kepada PWTC.
Jadi, saya hendak satu kepastian daripada kementerian, adakah maklumat itu betul? Kita bayar RM50,000 satu hari kepada PWTC dan kita tahu siapa pemilik PWTC tersebut. Jadi, soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua, sekarang kita sudah masuk ke peringkat kita memberikan booster kepada orang ramai. Cara kita bagi melalui MySejahtera, minta mereka pergi ke klinik-klinik tanpa melibatkan mega PPV ataupun PPV.
Jadi soalan saya ialah, kenapa pada peringkat awal apabila kita memberikan suntikan satu dan dua, kita tidak mengamalkan cara seperti yang kita amalkan sekarang iaitu kita bagi booster dengan tidak perlu ada PPV, tidak perlu ada mega PPV. Bukankah dengan cara sekarang kita amalkan, booster hantar mereka pergi ke klinik, ia dapat menjimatkan kos untuk kita mendirikan PPV dan juga mega PPV. Itu soalan yang saya hendak tanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Sekarang pada peringkat booster ini, kita lihat sambutannya amat rendah. Di Melaka Tuan Yang di-Pertua, saya pergi ke sebuah tempat, satu hari sepatutnya ada 600 orang pergi tetapi berlaku sehingga ada kalanya satu hari hanya 60 orang lebih yang pergi sahaja. Hanya sekadar 10 peratus. Jadi, bagaimanakah kementerian hendak mengatasi masalah ini? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Timbalan Menteri, silakan.
Datuk Aaron Ago Dagang:
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan yang diutarakan dalam jawapan ini. Kalau kita melihat seperti yang saya telah katakan tadi anggaran seseorang penerima vaksin untuk datang ke PPV ini adalah RM15 untuk seorang. Ini bukan kos vaksin, kos vaksin adalah RM14. Akan tetapi apabila kita membuka PPV, kita menganggarkan daripada kesemua kos adalah RM15 seorang sehari.
Jadi kalau kita melihat – saya pun tidak dapat kos sebenarnya apa yang telah dibayar oleh MOSTI dalam hal ini tetapi membuat anggaran, kalau kita membuat anggaran 18,000 kedatangan sehari, kalau darab dengan RM15 ia jumlah yang besar.
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
Akan tetapi, kita mengira kos yang sebenar yang dibayar adalah cuma RM6.30 bukannya RM15. RM6.30 only for one penerima – Hold on, hold on. You duduk dahulu. Dos booster ini Yang Berhormat yang bertanya kepada saya mengapa kita tidak membuka PPV. Ini telah dijawab oleh Yang Berhormat sendiri iaitu tadi Yang Berhormat katakan mereka yang datang untuk mengambil dos booster ini amat kurang, jadi kalau kita menyewa PPV yang begitu mahal, tidak memadailah.
Jadi, begitulah keadaan sekarang saya ingat mungkin jawapan ini tidak memuaskan Yang Berhormat tetapi kita melihat memang– cuma di Sarawak, ramai yang suka dos booster ini. Dahulu apabila kita memberikan dos pertama dan kedua, kita membuka PPV kerana semasa itu, kita menginginkan imuniti kepada komuniti supaya lebih ramai rakyat kita menerima vaksin dos pertama dan kedua. Akan tetapi booster dose ini seperti Yang Berhormat katakan tidak ramai orang yang berminat mengambilnya. Okey, boleh?
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]:
Sedikit penjelasan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan yang saya tanya ialah berapakah bayaran sewa? Jadi bolehkah berikan jawapan bertulis berkenaan tapak yang kita sewa. Contohnya kita menggunakan PWTC sebagai mega PPV. Kerajaan perlu membayar sewa untuk tapak tersebut. Jadi saya hendak tahu berapakah sewaan untuk tapak tersebut? Ini kerana, maklumat yang saya dapat, satu hari dibayar RM50,000. Jadi itu soalan saya. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka.
Datuk Aaron Ago Dagang:
Saya ada senarai 41 PPV besar dan semua ini ada dalam senarai dan saya akan bagi dengan tempat, nama PPV ini. Akan tetapi, kalau Yang Berhormat menginginkan jumlah atau pembayaran kepada ini, saya tidak tahu kerana ini di bawah MOSTI. Saya pun tidak ada maklumat. Cuma yang saya sebut tadi RM6.30 adalah berdasarkan kedatangan harian sebab kita menganggarkan RM15 tetapi tidak sampai begitu. Thank you.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]:
Jadi Yang Berhormat Timbalan Menteri, boleh dapat jawapan yang lengkap sebab kalau lihat bahagian (b), saya ada tanya jumlah bayaran sewa.
Datuk Aaron Ago Dagang:
Okey, saya cuba sebab ini under MOSTI ya, thank you. Kita akan cuba mendapatkan maklumat seperti yang dikehendaki oleh Yang Berhormat.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Saya perlukan…
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka. Seterusnya soalan tambahan yang kedua….
Puan Alice Lau Kiong Yieng [Lanang]: Soalan tambahan.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]:
Tuan Yang di-Pertua, sebab soalan yang saya tanya tidak dijawab. Jadi saya minta supaya Tuan Yang di-Pertua boleh bantu untuk mendapatkan jawapan yang lengkap. Kalau lihat bahagian (a) dan bahagian (b), bahagian (b) saya tanya tentang sewa tapak mega PPV, tidak dijawab. Saya minta supaya jawapannya diberikan secara bertulis.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Sila.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Bolehkah Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua bantu?
Datuk Aaron Ago Dagang: Saya cuba bantulah.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Okey, terima kasih Timbalan Menteri.
Datuk Aaron Ago Dagang: Thank you.

