PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2021
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah program-program dan kejayaan-kejayaan utama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sejak ditubuhkan dan berapa perbelanjaan yang telah digunakan oleh jabatan tersebut, termasuklah jumlah perjawatan.
JAWAPAN
YB DATUK DR. ABD LATIFF BIN AHMAD,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (TUGAS-TUGAS KHAS)
Tuan Yang di-Pertua,
1. J-KOM telah dijenamakan semula berkuatkuasa pada 01 Feb 2021 untuk membangun komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan ‘pengehakupayaan komuniti’ (community empowerment). Perjawatan yang diluluskan adalah seramai 155 perjawatan tetap yang melibatkan seramai 61 perjawatan di Ibu Pejabat dan 94 perjawatan di Pejabat Zon.
2. Sehingga kini sebanyak 9 program telah dilaksanakan melibatkan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), petugas barisan hadapan dan pesakit Covid-19, pihak media serta penjawat awam. Kejayaan utama JKOM setakat ini ialah telah melaksanakan inisiatif tanpa perbelanjaan dengan menyediakan sebanyak 291 kandungan kreatif seperti poster, video, foto dan lain-lain. Kandungan tersebut telah dibuat hantaran (posting) dan ciapan (tweet) pada media sosial Jabatan seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp. Ini selaras dengan hala tuju Jabatan dalam Program Komunikasi Strategik Pembudayaan Norma Baharu COVID-19,
3. Manakala perbelanjaan J-KOM setakat 26 Ogos 2021 berjumlah RM321.5 ribu.
Sekian, terima kasih.

