PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BUKAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2022
PERTANYAAN : BUKAN LISAN (BERTULIS)
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI KANAN PENDIDIKAN menyatakan statistik peruntukan untuk menaik taraf dan membaik pulih sekolah-sekolah untuk tahun 2022 mengikut kategori-kategori sekolah, khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diperuntukkan sebanyak RM900 juta untuk penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM bagi tahun 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM720 juta diperuntukkan untuk tujuan penyelenggaraan sekolah di bawah KPM. KPM mengagihkan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi tahun 2022 berdasarkan formula yang telah diperkenalkan pada tahun 2021. Formula ini mengambil kira bilangan dan jenis sekolah sama ada kategori sekolah Kerajaan atau sekolah bantuan Kerajaan. Dalam menggunakan formula ini, asas perkiraan adalah berdasarkan purata daripada peruntukan RM720 juta bagi 10,229 buah sekolah, iaitu sebanyak RM70,388.00 untuk setiap sekolah.
Daripada RM720 juta yang dikhaskan untuk penyelenggaraan, pecahan agihan adalah seperti berikut:
i. RM554.48 juta bagi sekolah rendah dan sekolah menengah berstatus sekolah Kerajaan, termasuk sekolah berasrama penuh dan kolej vokasional;
ii. RM1.39 juta bagi sekolah rendah dan sekolah menengah berstatus sekolah bantuan Kerajaan;
iii. RM86.03 juta bagi sekolah jenis kebangsaan Cina berstatus sekolah Kerajaan dan sekolah bantuan Kerajaan;
iv. RM34.79 juta bagi sekolah jenis kebangsaan Tamil berstatus sekolah Kerajaan dan sekolah bantuan Kerajaan;
v. RM24.03 juta bagi sekolah mubaligh berstatus sekolah Kerajaan dan sekolah bantuan Kerajaan;
vi. RM4.77 juta bagi sekolah conforming berstatus sekolah Kerajaan dan sekolah bantuan Kerajaan; dan
vii. RM14.51 juta bagi sekolah agama bantuan Kerajaan.
Agihan peruntukan bagi penyelenggaraan, ubah suai dan naik taraf sekolah berstatus sekolah kerajaan diagihkan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN) berdasarkan permohonan dan susunan keutamaan yang disyorkan oleh JPN atau Jabatan Kerja Raya (JKR). Agihan peruntukan bagi penyelenggaraan, ubah suai dan naik taraf sekolah berstatus sekolah bantuan Kerajaan (SBK) pula akan dipertimbangkan berdasarkan permohonan yang akan dikemukakan kepada KPM oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).
Sekian, terima kasih.


