PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEDUA,
PARLIMEN KELIMA BELAS, 2023
PERTANYAAN : JAWAB LISAN
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan :
(a) apakah langkah-langkah baharu yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan untuk menambah baik dan mempercepat proses permohonan kewarganegaraan; dan
(b) apakah KPI yang telah ditetapkan oleh Menteri mengenai jumlah dan kadar pemprosesan permohonan.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penganugerahan kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan. Dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan Malaysia, beban untuk membuktikan kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia ini pula adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon dan proses pertimbangan adalah tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan imigresen. Fakta dan dokumen bukti yang dikemukakan oleh setiap pemohon akan diteliti mengikut giliran yang sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan. Justeru, tiada tempoh tertentu yang ditetapkan bagi pengeluaran keputusan dan ia berbeza-beza mengikut keperluan kes.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan tindakan segera terhadap semua permohonan kewarganegaraan yang diterima secara berperingkat selaras dengan aspirasi konsep Malaysia MADANI. Kementerian ini juga komited dan beriltizam untuk menyelesaikan sebanyak 3000 pemohonan warganegara melalui KPI YB Menteri Dalam Negeri Tahun 2023.

