PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA,
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : BUKAN JAWAB LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN menyatakan :-
(a) adakah perjanjian konsesi Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) mengandungi terma pembatalan (exit clause), mohon dinyatakan jika ada; dan
(b) apakah langkah-langkah Kerajaan untuk menjadikan industri padi/beras lebih kompetitif dan mengurangkan monopoli, termasuk sama ada Kementerian bersedia mengkaji semula konsesi BERNAS.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jemaah Menteri pada 28 Oktober 2020 telah bersetuju supaya perjanjian konsesi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dilanjutkan selama 10 tahun lagi bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031 untuk melaksanakan 10 Obligasi Sosial. Pelanjutan ini adalah penting dan relevan dalam melindungi komoditi strategik khususnya beras sebagai makanan ruji rakyat Malaysia.
Dalam perjanjian konsesi ini, memang terdapat terma pembatalan (exit clause) di bawah fasal 19 “Termination By The Government” yang mana sekiranya dilaksanakan akan melibatkan implikasi perundangan yang melibatkan bayaran pampasan tertakluk kepada terma-terma dalam perjanjian konsesi.
b) Antara langkah Kerajaan untuk menjadikan industri padi/beras lebih kompetitif dan mengurangkan monopoli adalah dengan membuat penambahbaikkan pada konsesi termasuk penambahan bilangan Obligasi Sosial daripada 5 kepada 10 iaitu:
i. Memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti yang ditetapkan oleh Kerajaan;
ii. Mengekalkan peranan bagi bertindak sebagai pembeli terakhir untuk para petani padi (Buyer of Last Resort);
iii. Menguruskan Pembayaran Subsidi Kepada Petani di bawah Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) mengikut kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan;
iv. Menguruskan Skim Pengilang, Pemborong dan Koperasi Petani;
v. Memperuntukkan Dana Bagi Pembekalan Jentera dan Mekanisasi Padi;
vi. Membangunkan Sawah Berskala Besar;
vii. Menyediakan Dana Bagi Pengurusan Stok Penimbal Benih Padi Negara;
viii. Memberikan Bantuan Tabung Bencana (Safety Net Petani);
ix. Menyediakan Dana Bagi Pembangunan Sistem Maklumat Industri Padi dan Beras; dan
x. Menguruskan Nutrien Tanah Sawah.
Jawatankuasa Pemantauan bertindak sebagai badan penilai atau oversight body untuk memantau pelaksanaan Obligasi Sosial BERNAS berdasarkan Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan bagi setiap Obligasi Sosial yang telah dipersetujui.
Sekian, terima kasih.

