PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA,
PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023
PERTANYAAN : BUKAN JAWAB LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [ Kota Melaka ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan perancangan untuk Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) yang bakal dilaksanakan di Melaka, termasuklah rasional, strategi, garis masa, peruntukan, dan lain-lain maklumat berkaitan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti atau Stage Bus Service Transformation (SBST) telah diperkenalkan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2015 dengan objektif untuk menambahbaik liputan dan operasi perkhidmatan bas berhenti-henti agar lebih optimum, efisyen dan boleh diharap. Program SBST turut dirangka bagi memastikan penumpang memperolehi perkhidmatan bas “myBAS” sepanjang laluan sosial yang dahulunya kurang mendapat perhatian, di samping mengurangkan pertindihan laluan bas agar liputan perkhidmatan tersebut mencapai tahap optimum.
2. Perkhidmatan bas berhenti-henti program SBST ini telah dilancarkan di Kangar dan Seremban (2015), Ipoh (2016), Kuala Terengganu (2018) dan Johor Bahru (2022). Melalui Belanjawan Madani 2023, Kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi program SBST, termasuk peluasan program ini di negeri Melaka.
3. Program SBST menggunapakai model kontrak “Gross Cost”, di mana satu (1) Pengendali Rangkaian akan dilantik bagi mengendalikan rangkaian laluan “myBAS”. Kerajaan akan mengawalselia tambang, liputan, tahap perkhidmatan dan piawaian operasi laluan SBST. Setiap bas di bawah program ini perlu dilengkapi Sistem Tiket Elektronik dengan integrasi sistem GPS bagi memudahkan penumpang dalam urusan pembelian tiket, secara langsung memudahkan perkhidmatan ini dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Terdapat tiga (3) penunjuk prestasi utama yang dipantau oleh APAD iaitu ketersediaan, ketepatan masa dan keboleharapan di mana bayaran kepada Pengendali Rangkaian adalah berdasarkan kontrak mengikut jumlah KM perjalanan dan penalti bayaran akan dikenakan sekiranya KPI tersebut tidak dipatuhi.
4. Bagi program SBST di negeri Melaka, kerajaan mensasarkan penambahbaikan operasi di 15 laluan bas sedia selain memperkenalkan dua (2) laluan baharu di kawasan pusat bandar dengan kekerapan perkhidmatan secara keseluruhan antara 20-30 minit bagi laluan feeder, 60 minit bagi laluan utama berpermintaan sederhana tinggi serta 120 minit bagi laluan di luar bandar. Jumlah bas juga akan turut dipertingkat sehingga 48 buah bas, di mana penggunaan bas elektrik dan bas mini berlantai rendah (mini low floor) yang lebih mesra pengguna akan digunakan, terutamanya di kawasan bandar. Kerajaan turut bercadang memperluas pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS di bawah program SBST Melaka kelak.
5. Kerajaan mensasarkan pelancaran operasi SBST dalam bulan Disember 2023. Pada masa ini, APAD selaku agensi pelaksana sedang dalam proses melaksanakan tender terbuka yang dijangka akan diiklankan pada penghujung Mei 2023. Anggaran kos pelaksanaan SBST Melaka adalah sebanyak RM17.6 juta setahun.
Sekian, terima kasih.

