PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BERTULIS DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS TAHUN 2020
PERTANYAAN : BERTULIS
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan :-
(a) anggaran jumlah pekerja tidak formal (iaitu tidak menerima perlindungan sosial/bantuan Kerajaan berkaitan pekerjaan) di Malaysia mengikut pecahan negeri; dan
(b) apakah strategi dan langkah-langkah Kerajaan dalam masalah ini, khususnya dalam memastikan mereka menerima perlindungan dan bantuan sosial dalam situasi COVID-19.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan Yang Mulia, berdasarkan rekod Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, anggaran Orang Bekerja Sendiri (OBS) dalam sektor tidak formal yang belum mendapat perlindungan di bawah SKSPS, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] mengikut pecahan negeri di Malaysia adalah seperti di Jadual 1 berikut:
Jadual 1: Bilangan OBS Mencarum Di Bawah SKSPS Berbanding Bilangan OBS Yang Belum Mencarum

2. Statistik sehingga 1 Disember 2020 jumlah OBS yang mendaftar dan mencarum dengan PERKESO ialah seramai 75,829 orang sahaja iaitu 2.78% sahaja manakala baki 2.64juta orang atau 97.22% masih belum mencarum dan tiada perlindungan di bawah SKSPS.
3. Di antara strategi dan langkah-langkah yang diambil oleh PERKESO bagi memastikan OBS mendapat perlindungan SKSPS ialah dengan mengadakan sesi libat urus dan turun padang yang melibatkan agensi kerajaan, platform penyedia perkhidmatan ekonomi gig, persatuan, pertubuhan dan sebagainya di semua pejabat PERKESO seluruh negara.
4. PERKESO turut mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa agensi kerajaan dan platform penyedia perkhidmatan bagi memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada OBS. Sepanjang tahun ini sebanyak 4,177 sesi libat urus telah diadakan di seluruh negara.
5. PERKESO turut melantik wakil daripada Jabatan / Agensi / Kesatuan sebagai Ejen Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (EKSPS) untuk menjadi Ejen Korporat yang bertanggungjawab ke atas OBS mengikut ketetapan di dalam terma dan syarat-syarat bagi maksud pungutan dan penerimaan bayaran caruman. EKSPS Ejen Korporat juga bertanggungjawab melaksanakan aktiviti promosi, publisiti dan pemudah
cara bagi tuntutan faedah SKSPS.
6. Selain itu, PERKESO turut melaksanakan program publisiti meluas secara aktif melalui hebahan di media massa seperti di stesen TV dan radio serta di media cetak utama. PERKESO turut menerbitkan risalah dan klip-klip video yang disebar luas melalui media sosial di laman sesawang PERKESO, Facebook, You Tube, WhatsApp dan Instagram.
Sekian, terima kasih.

