PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2021
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan.
a) apakah langkah-langkah Kerajaan untuk mengatasi masalah sewa rumah tertunggak di kalangan rakyat yang hilang punca pendapatan kerana pandemik COVID-19; dan
b) adakah Kerajaan bercadang melaksanakan dasar antipengusiran sementara (temporary eviction moratorium) untuk mengawal masalah ini.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Undang-Undang Sementara Atau Akta Yang Memberi Moratorium Terhadap Pengusiran Penyewa
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Kota Melaka, KPKT mengambil maklum hasrat Yang Berhormat untuk melihat kemungkinan sama ada di negara kita boleh melaksanakan moratorium terhadap pengusiran penyewa dari kediaman sewaan masing-masing. Saya turut berkongsi keprihatinan Yang Berhormat ke atas perkara ini, lebihlebih lagi ketika rakyat sedang menghadapi situasi ekonomi yang mencabar di era pandemik COVID-19 ini.
KPKT telah pun meneliti perkara ini dan semakan perundangan mendapati bahawa hubungan antara tuan tanah dan penyewa adalah dikawal selia oleh perjanjian sewa antara pihak-pihak terlibat. Ketika ini, penyediaan perjanjian penyewaan kediaman menggunakan tatacara Akta Kontrak 1950 dan perjanjian itu bersifat
umum yang tidak komprehensif serta tidak mencakupi klausa berkaitan anti pengusiran.
Peruntukan undang-undang sedia ada menyatakan bahawa pemilik hartanah tidak boleh menghalau penyewa dengan sewenang-wenangnya. Seksyen 7(2) Akta Relief Spesifik 1950 memperuntukkan pemilik premis sewa perlu menggunakan prosiding mahkamah untuk mengusir penyewa.
Untuk kes Rasha Utara Enterprise & Makami Enterprise v. Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP)[2017], di mana MPSP sebagai tuan tanah telah bertindak masuk ke premis sewa dan menyita segala barang-barang milik penyewa tanpa perintah Mahkamah. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa MPSP perlu membayar sebanyak RM45,000 kepada penyewa-penyewa atas tindakan yang membelakangkan undang-undang tersebut.
Semakan kepada Akta-Akta lain yang berkaitan seperti Kanun Tanah Negara [Akta 828], Specific Relief Act 1950, Akta Kawalan Sewa (Pemansuhan) 1997 [Akta 572] dan sebagainya, juga mendapati tiada sebarang undang-undang yang memperuntukkan berkenaan dengan larangan pengusiran penyewa sehingga mempunyai jaminan
tempat tinggal baru atau yang berkaitan dengan antipengusiran sementara penyewa rumah.
Pada masa ini, KPKT sedang menggubal Akta Sewaan Kediaman (Residential Tenancy Act; RTA) yang bertujuan untuk lebih melindungi kepentingan penyewa dan pemilik, serta akan turut mengkaji kesesuaian cadangan dasar antipengusiran sementara dalam akta ini. Akta ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama tahun 2022. Akta baharu ini digubal berdasarkan model Residential Tenancies Act 2010 (New South Wales) Australia kerana akta ini dilihat mampu melindungi kepentingan pemilik kediaman dan penyewa. Pada masa yang sama undang-undang berkaitan dari negara Jerman, United Kingdom, dan Australia serta Rental Housing Act dari Afrika
Selatan juga turut dibuat perbandingan. Walau bagaimanapun, sebarang cadangan pewujudan anti pengusiran perlu diteliti secara komprehensif dari pelbagai aspek sebelum ianya boleh dilaksanakan kerana ianya boleh menindas hak pelbagai pihak terutamanya pihak tuan tanah.
Pada masa yang sama, KPKT baharu sahaja menyediakan inisiatif berupa perumahan sementara iaitu INISIATIF KEDIAMAN RUMAH KELUARGA MALAYSIA (RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA). Objektif utama program ini adalah untuk memberikan perlindungan melalui penyediaan kediaman yang berdaya huni, selesa dan selamat kepada rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat COVID-19; serta menyediakan kemudahan insentif melalui sewaan serendah RM124 untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat.
Pada peringkat permulaan,sebanyak 1,000 unit rumah sedia ada ditawarkan untuk Rumah IKRAM Keluarga Malaysia di 8 lokasi PPR di seluruh negara. Pemilihan dan pengisian akan dilaksanakan segera sebaik sahaja proses saringan permohonan selesai dilaksanakan. Antara inisiatif lain yang telah dilaksanakan dalam membantu
meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk membayar sewa rumah, khususnya penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ialah melalui inisiatif pengecualian pembayaran sewa selama tujuh bulan (MacSeptember 2020) bagi 3,636 unit iaitu di PPR Lembah Subang
1(3,004 unit rumah) dan Rumah Transit Bukit Jalil (632 unit rumah);
Bagi penangguhan pembayaran sewa / moratorium selama 21 bulan (Mac 2020 – Disember 2021) bagi PPR Sewa Untuk Dimiliki (RTO) di bawah pengurusan KPKT yang melibatkan 10 projek PPR (4,650 unit). Bagi Perumahan Awam dan PPR lain yang di bawah pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)/ Kerajaan Negeri/ Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pula, pengecualian dan penangguhan bayaran sewa dan bayaran bulanan adalah tertakluk
kepada budi bicara agensi negeri berkenaan.
Sekian, terima kasih.

