PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN menyatakan apakah langkah segera Kementerian untuk mengatasi masalah kekurangan beras putih dalam pasaran dan kesediaan Kementerian memberi AP kepada syarikat baru selain daripada BERNAS untuk mengimport beras ekoran insiden kekurangan beras di pasaran.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian sedang giat melaksanakan pelbagai langkah intervensi untuk mengatasi isu tersebut. Terbaru, 4 langkah intervensi tambahan telah diumumkan seperti berikut:
Pertama, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah diarahkan untuk meningkatkan pengedaran (beras putih tempatan) BPT ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar termasuk ke kedai-kedai runcit. Oleh kerana margin jualan BPT hanya 50 sen bagi kampit 10kg di peringkat runcit, maka Kerajaan telah bersetuju untuk menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak FAMA dan LPP bagi pengedaran BPT. Peranan FAMA dan LPP dalam langkah intervensi ini hanya bersifat sementara dan bukanlah sebagai pengedar utama BPT di negara ini.
Kedua, semua perolehan pembekalan BPT di bawah kontrak Kerajaan akan menggunakan Beras Putih Import (BPI) dan pihak pembekal boleh mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 per tan metrik (harga pintu gudang) dalam kampit 50kg dan ia tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan dan Kementerian Kewangan telah menetapkan supaya perubahan kontrak hendaklah diselesaikan selewat-lewatnya pada 30 April 2024.
Ketiga, penubuhan Task Force Khas operasi bersepadu beras putih tempatan (OP BPT) melibatkan pelbagai agensi meliputi Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), KPKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). OP BPT Bersepadu ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh atas semua peringkat rantaian industri termasuk semua kilang beras dan stor pemborong beras. Sampel beras juga akan diambil di kilang beras,
gudang pemborong dan juga pasaraya untuk dibuat analisis kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia dan MARDI.
Keempat, dalam konteks Sabah, Labuan dan Sarawak, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 per tan metrik BPI mulai 5 Oktober 2023. Melalui kaedah ini, harga runcit BPI di kedua-dua negeri ini akan menjadi harga maksimum RM31 bagi sekampit 10kg. Langkah ini diambil memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad.
Tuan Yang di-Pertua,
Model penswastaan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) adalah bersifat “cross-subsidy,” di mana keuntungan import digunapakai untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Kerajaan. Di dalam perjanjian BERNAS, Kerajaan telah menetapkan supaya BERNAS melaksanakan 10 obligasi bagi pihak Kerajaan dengan kos yang dianggarkan sebanyak RM3.216 bilion sepanjang tempoh perjanjian konsesi baharu.
Kerajaan yakin dasar pengimport utama beras yang dilaksanakan adalah kaedah terbaik ketika ini. Dasar ini, merupakan mekanisme utama yang telah memberikan keupayaan kepada negara untuk menghadapi cabaran volatiliti harga beras antarabangsa. Ini adalah kerana dasar pengimport utama merupakan mekanisme gatekeeping yang berfungsi sebagai benteng bagi melindungi industri padi dan beras tempatan daripada terdedah kepada volatiliti pasaran antarabangsa.
Perlu diulangi bahawa insiden kekurangan beras di pasaran hanya melibatkan BPT dan bekalan BPI yang diimport melalui BERNAS tidak mengalami sebarang gangguan dan bekalan sentiasa mencukupi. Prestasi BERNAS dinilai melalui Jawatankuasa Pemantauan KPI BERNAS sebanyak dua (2) kali setahun bagi memastikan semua obligasi sentiasa dipatuhi.
Sekian, terima kasih.

