PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan kerja-kerja yang telah dan akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dalam proses kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan bila dijangka akan dibentang di Parlimen.
JAWAPAN
YB DATO’ SRI AZALINA BINTI OTHMAN SAID MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
Tuan Yang di-Pertua,
- Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagian- bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan serta menurut bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.
- Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh 8 tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
- Bagi maksud tersebut, urusan Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada tahun 2018, manakala bagi Negeri Sarawak dan Sabah pula adalah pada tahun 2015 dan 2017 masing-masing.
- Berdasarkan peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, prinsip-prinsip persempadanan yang dipegang oleh SPR adalah seperti berikut:-
- Kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri;
- Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihanraya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian;
- Jumlah pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan
- Mengekalkan hubungan masyarakat tempatan.
Sekian, terima kasih.

