PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2021
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah peminjam yang telah memohon dan diluluskan moratorium pinjaman bank di bawah PEMULIH dan apakah sebab Kerajaan dan pihak bank enggan melaksanakan moratoriumtersebut tanpa faedah atau caj tambahan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Kerajaan telah memberikan kemudahan moratorium secara menyeluruh ke atas pinjaman bank sebagai sebahagian langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (atau PRIHATIN), PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat dan perniagaan yang terkesan dengan krisis pandemik COVID-19.
2. Sehingga kini, nilai pinjaman terkumpul yang menerima bantuan moratorium dianggar berjumlah 452.5 bilion ringgit, dengan 101.4 bilion ringgit kepada PKS dan 351.1 bilion ringgit kepada peminjam individu. Seramai 2.6 juta peminjam telah menikmati kemudahan ini, yang terdiri daripada 2.5 juta peminjam individu dan 81,100 PKS.
3. Kadar kelulusan bantuan moratorium kepada peminjam adalah 99 peratus sejak Julai 2021. Peminjam hanya perlu menghubungi bank untuk membuat permohonan bantuan bayaran balik pinjaman dan kelulusan akan diberikan secara automatik kepada peminjam yang layak tanpa perlu mengemukakan bukti kelayakan atau dokumen sokongan.
4. Bagi peminjam yang menghadapi situasi yang lebih mencabar atau mereka yang mempunyai pinjaman di beberapa bank, mereka boleh merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (atau AKPK) bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai bayaran balik pinjaman.
5. Sekiranya peminjam menghadapi kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank atau permohonan bantuan bayaran balik pinjaman ditolak, mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia secara terus melalui BNM TELELINK. Sebagai makluman, jumlah aduan yang diterima melalui BNM TELELINK adalah pada kadar yang agak rendah sepanjang tempoh PEMULIH (antara Jun hingga Ogos 2021), iaitu 0.46 peratus daripada jumlah permohonan yang diluluskan.
Tuan Yang di-Pertua,
6. Bagi semua pinjaman yang mendapat bantuan moratorium, pihak bank telah bersetuju untuk tidak mengkompaun faedah, iaitu tidak mengenakan faedah atas faedah, atau mengenakan faedah penalti dalam
tempoh moratorium selama 6 bulan bagi semua produk pinjaman.
7. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Sehubungan dengan itu, Kementerian Kewangan juga telah meminta institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera. Ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan lima puluh peratus (50%) terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga (3) bulan pada suku keempat 2021.
8. Kemudahan moratorium ini juga perlu dilihat dari segi konteks pelbagai bantuan lain yang disalurkan. Kerajaan terus menyokong kelangsungan hidup golongan B40 dan M40 melalui pelbagai bantuan langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang
keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion dan dijangka memanfaatkan 10 juta penerima untuk tahun 2021. Bantuan bakul makanan, bantuan data telekomunikasi melalui Jaringan Prihatin, diskaun bil elektrik, subsidi
bahan makanan asas serta minyak petrol dan banyak lagi bantuan juga turut membantu meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan.
9. Memandang ke hadapan, kejayaan program vaksinasi COVID-19 di Malaysia telah menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi dibuka. Pembukaan sektor ekonomi akan membolehkan lebih banyak perniagaan dapat beroperasi dan rakyat kembali berkerja untuk menampung kehidupan mereka.
Sekian, terima kasih.