PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan :
- (a) jumlah kekosongan jawatan Guru Cemerlang mengikut gred yang masih wujud dan usaha kementerian untuk kekosongan jawatan-jawatan berkenaan; dan
- (b) jumlah kekurangan guru biasa di sekolah rendah dan menengah semua aliran dan langkah-langkah mengatasi.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan 22 laluan kenaikan pangkat dalam kemajuan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP). Salah satu laluan tersebut adalah laluan Guru Cemerlang (GC) yang bertujuan mengiktiraf guru-guru berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan kepada kriteria penilaian yang telah ditetapkan. Pengisian bagi laluan GC adalah tertakluk kepada kriteria penilaian dan kuota yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP).
KPM telah menetapkan bahawa permohonan GC terbuka kepada semua guru yang berminat dan layak mengikut gred serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Pelbagai langkah dan strategi telah dilaksanakan oleh KPM bagi mempromosi laluan GC seperti mengadakan sesi taklimat dan penerangan berkaitan syarat dan kriteria penilaian kepada guru-guru melalui kerjasama dengan Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). KPM juga membuat hebahan dan iklan melalui media sosial dan webinar serta roadshow sebagai penyaluran maklumat kepada semua guru berkaitan dengan permohonan GC.
KPM sentiasa memberi perhatian terhadap pengisian perjawatan guru di sekolah rendah dan menengah seluruh negara bagi memastikan PdP di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga 31 Ogos 2023, jumlah perjawatan bagi sekolah KPM di Malaysia adalah sebanyak 431,217 dan pengisian adalah seramai 409,137 orang guru. Jumlah kekosongan perjawatan guru bagi sekolah KPM adalah sebanyak 22,080.
KPM telah mempertingkat sinergi dan kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Melantik serta agensi pusat yang berkaitan (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan) bagi mengatasi masalah kekurangan guru. Beberapa kaedah dan pendekatan strategik telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk peluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.
Pengambilan guru juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran kritikal dan sukar mendapat calon dari Universiti Awam seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Reka Bentuk dan Teknologi dan Pendidikan Islam.
Di samping itu, KPM juga melaksanakan pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan. Guru-guru lantikan CoS ini dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun sebelum dilantik tetap oleh SPP.
Selain itu, KPM juga menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM yang berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru, seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah KPM.
KPM akan terus komited dalam usaha meningkatkan bilangan pengisian perjawatan guru dan juga bilangan GC di sekolah sebagai usaha memperkasa profesionalisme keguruan.
Sekian, terima kasih.

