PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:
(a)setakat 30 April 2023, berapa jumlah tunggakan / hutang MYEG kepada semua agensi Kerajaan yang melantik MYEG sebagai agen kepada agensi-agensi Kerajaan berkenaan; dan
(b)apakah rasional melantik MYEG sebagai agen sedangkan sistem perkhidmatan atas talian agensi-agensi Kerajaan mampu melaksanakannya.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Pelantikan MYEG adalah berdasarkan permohonan agensi Kerajaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) sama ada sebagai penyedia perkhidmatan atau ejen pemungut. Pelantikan MYEG sebagai agen pemungut Kerajaan merupakan alternatif kepada orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan Kerajaan di mana orang awam berpeluang mendapatkan perkhidmatan secara atas talian di platform yang disediakan oleh MYEG. Kutipan hasil Kerajaan daripada perkhidmatan yang disediakan oleh MYEG adalah dikawal selia oleh agensi Kerajaan yang melantik syarikat berkenaan.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat tunggakan atau hutang hasil Kerajaan ia adalah berdasarkan penggunaan perkhidmatan di agensi Kerajaan yang berkontrak dengan MYEG. Misalnya setakat 30 April 2023, jumlah penalti lewat pindahan yang dikenakan kepada MYEG bagi perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah berjumlah RM837,514.94. Pihak JPJ bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia bekerjasama membuat tuntutan ke atas penalti lewat pindahan bagi memastikan transaksi kutipan harian dipindahkan ke bank Akaun Utama Kementerian dalam tempoh yang ditetapkan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa kini, orang awam boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh MYEG bagi perkhidmatan JPJ dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Orang awam yang berurusan dengan JPJ boleh mendapatkan perkhidmatan secara atas talian di platform yang disediakan oleh MYEG memandangkan saluran baharu MyJPJ belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Pelantikan MYEG juga adalah sebagai langkah persediaan JPJ sebelum penambahbaikan sepenuhnya Portal MySIKAP dilaksanakan untuk menawarkan keseluruhan perkhidmatan JPJ oleh agensi berkenaan.
Pelantikan MYEG bagi perkhidmatan JIM pula bertujuan bagi memberi pilihan kepada majikan untuk memohon pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Perkhidmatan MYEG dikekalkan pada masa ini berikutan kajian impak yang dilaksanakan oleh JIM mendapati terdapat keperluan untuk perkhidmatan MYEG diteruskan sebagai alternatif dalam membuat permohonan pembaharuan atas talian bagi PLKS selain daripada sistem e-PLKS yang disediakan oleh JIM bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan sedia ada dapat dilaksanakan.
Sekian, terima kasih.

