PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2021
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan berkenaan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri bertarikh 11 April 2014 atas isu pemegang pasport British Overseas Citizen
(BOC), berapa jumlah pemegang pasport tersebut yang telah diberi Pas Residen dan Permit Masuk/Taraf Pemastautin Tetap sejak tahun 2014.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemegang Pasport British Overseas Citizen (BOC) merupakan warganegara Malaysia yang telah memilih untuk melepaskan taraf kewarganegaraan Malaysia bagi membolehkan mereka memohon dan dipertimbangkan sebagai warganegara United Kingdom.
Pada 4 Julai 2002, Pindaan British Nationality Act 1981 (BNA 1981) telah menetapkan bahawa taraf kewarganegaraan United Kingdom hanya diberikan sekiranya mereka telah melepaskan atau dilucutkan
kewarganegaraan Malaysia pada atau sebelum 4 Julai 2002 sahaja. Justeru, permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan United Kingdom oleh pemegang Pasport BOC yang telah melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia pada atau selepas 4 Julai 2002 tidak akan dilayan oleh Kerajaan United Kingdom.
Pemegang BOC tersebut tidak mempunyai pilihan selain dari pulang secara sukarela atau berdepan dengan tindakan undang-undang. Mesyuarat Kerja mengenai Kerjasama Imigresen antara Kerajaan Malaysia – Kerajaan United Kingdom pada April 2011 dan Februari 2013 memutuskan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan memberi taraf kewarganegaraan secara automatik dan hanya mengeluarkan Pas Residen bagi membolehkan mereka berada di Malaysia secara sah.
Sehingga September 2021, hanya lapan (8) orang pemegang pasport BOC telah diterima pulang oleh Kerajaan Malaysia dan dikeluarkan Pas Residen. Pengeluaran Pas Residen ini adalah selaras dengan Pekeliling Imigresen
Malaysia Bil. 5 Tahun 2013 – Garis Panduan Pelaksanaan Pemberian Pas Residen Kepada Pemegang Pasport BOC yang telah Melepaskan Kewarganegaraan Malaysia Secara Sukarela dan Pulang ke Malaysia Secara Sukarela.

