PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG (KOTA MELAKA)
SOALAN
YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan faktor PR1MA kerugian dan liabilitinya mencecah RM5.746 bilion (Laporan Ketua Audit Negara 2022) dan bagaimana PR1MA dapat kekal berfungsi jika kerugiannya terus meningkat.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) ditubuhkan di bawah Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) 2012 (Akta 739) dengan mandat utamanya untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan pertengahan M40 sebagai selaras dengan Dasar Perumahan Negara.
Bagi mencapai mandat tersebut, model perniagaan asal PR1MA dirangka dengan kadar keuntungan yang rendah bagi memastikan harga jualan rumah menepati kemampuan golongan sasar.
PR1MA sentiasa menyokong inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan pemilikan rumah mampu milik di kalangan rakyat Malaysia. Pada tahun 2019, PR1MA telah mengambil bahagian dalam Kempen Pemilikan Rumah 2019 (Home Ownership Campaign, HOC 2019), anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) dengan memberikan diskaun 10% dan rebat sehingga 20% kepada projek-projek PR1MA terpilih di seluruh Malaysia. Kempen ini telah berlangsung dari 2019 hingga 2021 bertujuan untuk memudahkan rakyat memiliki rumah yang selesa pada harga mampu milik sekaligus merangsang jualan dan mendorong penjualan rumah-rumah yang tidak terjual (property overhang). Pemberian diskaun dan rebat ini telah menyumbang kepada peningkatan kos yang perlu ditanggung oleh PR1MA.
Umum mengetahui wabak COVID -19 yang melanda negara pada tahun 2020 telah memberi impak yang negatif kepada industri pembinaan dan secara tidak langsung kepada prestasi projek-projek perumahan dan PR1MA juga tidak terkecuali. Ia telah menyebabkan peningkatan kos pembangunan yang perlu ditanggung disebabkan penangguhan kerja dan penambahan kos kesan peningkatan harga barang. Isu ini juga telah diiktiraf oleh Kementerian melalui Pekeliling Perbendaharaan (PP)/ Perolehan Kerajaan (PK) 2.4.
Faktor-faktor yang telah dinyatakan ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan liabiliti dan kerugian kepada PR1MA.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, PR1MA dalam mengekalkan fungsinya sebagai penyedia rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia telah menyusun dan melaksanakan beberapa strategi dan pendekatan yang holistik. Pada tahun 2019, PR1MA telah melaksanakan Pelan Transformasi bertujuan untuk meningkatkan efisiensi dan keberkesanan perkhidmatan PR1MA dalam menyediakan perumahan berkualiti tinggi dan mampu milik. Melalui Pelan ini PR1MA telah mengubah strategi dari model bina dan jual (build and sell) kepada model jual dan bina (sell and build) bagi memastikan kebolehpasaran dan kesinambungan aliran tunai.
Selain itu, PR1MA juga sentiasa melaksanakan kajian kebolehlaksanaan (Feasibility study) yang merangkumi lokasi, jenis produk perumahan, harga, kemampuan pembeli serta faktor permintaan dan penawaran. Ini dapat memastikan projek PR1MA akan sentiasa dapat dijual dan mengelakkan daripada mengalami isu unit tidak terjual (overhang). Bagi tujuan ini, PR1MA juga telah melaksanakan beberapa kempen bagi merancakkan lagi hasil jualan PR1MA. Setakat 31 Mei 2024, PR1MA telah berjaya menjual sebanyak 33,472 unit rumah. PR1MA yakin dengan strategi perniagaan baharu yang lebih tersusun, penjualan kediaman PR1MA akan lebih berdaya saing dan maju.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, PR1MA telah mengenal pasti Lapan Teras Pembangunan Strategik dengan membangunkan projek perumahan melalui kerjasama strategik dan pembangunan atas tanah sedia ada yang telah dikenalpasti akan memberi pulangan yang tinggi di masa hadapan. Ini termasuklah pembangunan yang berteraskan Transit Oriented Development (TOD) dan Bandar Mini PR1MA yang terdiri daripada rumah mampu milik, rumah premier, unit-unit komersial serta fasiliti awam.
Setakat 31 Mei 2024, PR1MA mempunyai 88 projek dengan jumlah unit sebanyak 54,137 di seluruh negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 59 projek yang melibatkan 39,123 unit telah siap dibina, 18 projek yang merangkumi 10,870 unit sedang dalam peringkat pembinaan dan 11 projek yang merangkumi 4,144 unit dalam peringkat perancangan. Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi keseluruhan projek PR1MA adalah sebanyak RM14 bilion dan pihak pengurusan PR1MA yakin langkahlangkah pembaikan ini akan memastikan kelangsungan syarikat sebagai agensi perumahan Kementerian.
PR1MA komited dan yakin dengan pelan transformasi serta strategi yang telah disusun dan dilaksanakan akan membawa impak positif kepada kedudukan kewangan PR1MA. Ini sekali gus akan memastikan kelangsungan PR1MA sebagai agensi perumahan yang menyediakan rumah berkualiti dan harga yang mampu dimiliki untuk golongan sasar.
Sekian, terima kasih.

