PERTANYAAN : LISAN (18 OKTOBER 2023 (RABU)
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk menggubal rang undang-undang baharu untuk mengawal ahli-ahli politik daripada menyalahgunakan isu agama dan kaum dalam perjuangan politik mereka.
JAWAPAN
YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
Tuan Yang di-Pertua,
- Untuk makluman Yang Berhormat, sebarang penggubalan perundangan khas atau garis panduan khas berkaitan isu provokasi 3R (race, religion & royalty) adalah sesuatu yang perlu dikaji dengan mendalam bagi negara kita dengan mengambil kira sensitiviti dan keperluan semasa.
- Bagi perundangan yang menyentuh isu provokasi 3R ini, sesuatu perundangan khas yang ingin diwujudkan perlu mengambil kira kebebasan bersuara yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu perkara 10(1)(a). Buat masa ini, tiada sebarang garis panduan atau
perundangan spesifik yang diwujudkan untuk menangani isu provokasi 3R ini. Sebaliknya, terdapat beberapa undang-undang sedia ada yang mempunyai peruntukan khas bagi mencegah isu provokasi 3R ini seperti berikut:
Undang-Undang Sedia Ada Yang Digunakan Bagi Menangani Isu Provokasi 3R di Malaysia
- Kanun Keseksaan [Akta 574];
- Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301];
- Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588];
- Akta Hasutan 1948 [Akta 15]; dan
- Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].
- Untuk makluman Yang Berhormat, sebuah Taskforce perundangan ditubuhkan secara pentadbiran bagi membantu Kerajaan dalam menangani isu provokasi 3R di Malaysia yang tidak dapat ditangani melalui perundangan yang sedia ada.
- Dalam hal ini, satu Sesi Libat Urus dan Dialog Perundangan 3R telah diadakan pada 21 Julai 2023, bertempat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Dialog ini adalah bertujuan untuk mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada, mengenalpasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh agensi penguatkuasaan dari segi menjalankan siasatan serta pendakwaan, mencadangkan perundangan alternatif yang bersifat sivil, serta modal-modal perundangan lain yang dirasakan sesuai.
- Antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah:
a.Laporan analisis profiling yang disediakan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) gagal mengenalpasti pemilik atau pengendali akaun yang disiasat kerana akaun tersebut merupakan akaun palsu, akaun yang digodam atau akaun yang telah dipadam; dan
- Ciapan-ciapan (postings) di media sosial yang melibatkan penggunaan teknologi artificial intellingence (AI) yang menyebabkan usaha untuk mengawal isu provokasi 3R ini menjadi lebih sukar dan mencabar.
- Selain itu, pihak SKMM juga menghadapi cabaran seperti berikut:
- Kesukaran untuk mengesan identiti pemilik akaun terutamanya melibatkan pemilik atau pentadbir akaun yang berada di luar negara;
- Terdapat kes-kes yang disiasat tidak memenuhi sebarang peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta 588; dan
- Hasil pengujian forensik digital ke atas peranti komunikasi suspek tidak menjumpai sebarang bukti kesalahan. Ini dikatakan berlaku di kalangan pemilik akaun dikalangan ‘pakar’ dan sudahpun ‘established’ dengan menggunakan pelbagai peranti komunikasi dalam pelaksanaan modus operandinya.
- Kajian perundangan yang lebih terperinci akan dibuat khususnya
terhadap undang-undang yang sedia ada termasuk untuk memperuntukkan undang-undang berkaitan perintah mahkamah untuk mengeluarkan berita-berita yang mempunyai sifat provokasi dengan segera melalui penyerahan perintah berkenaan kepada penyedia perkhidmatan (service providers).
Sekian, terima kasih.

