PERTANYAAN : JAWAB BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI
DALAM NEGERI menyatakan apakah kedudukan terkini siasatan
terhadap sindiket kuota pekerja asing yang melibatkan enam syarikat itu
termasuk Star Domain Resources Sdn Bhd, Aecor Innovation Sdn Bhd,
Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd, QL-Marketing Sdn Bhd,
GTM.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menerima aduan daripada Kedutaan Bangladesh berhubung pengabaian pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia oleh syarikat Star Domain Resources Sdn Bhd, Aecor Innovation Sdn Bhd dan Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd. Justeru itu, JTKSM telah menjalankan tindakan siasatan terhadap syarikat – syarikat tersebut.
- Hasil siasatan JTKSM mendapati syarikat-syarikat tersebut telah membawa masuk pekerja asing ke Malaysia pada tahun 2023 dan gagal memberikan pekerjaan kepada mereka. Berikut merupakan tindakan- tindakan yang telah diambil JTKSM terhadap syarikat- syarikat tersebut:
- Star Domain Resources Sdn Bhd:
- 4 kertas siasatan telah dibuka dan majikan telah dikenakan tindakan pendakwaan bagi kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dengan amaun denda berjumlah RM19,000 di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada 6 September 2023 dan 18 Oktober 2023;
- Majikan telah diarah untuk memindahkan 439 orang pekerja ke penginapan pekerja berpusat di Lodge Residence, Nilai, Negeri Sembilan;
- Majikan telah membuat permohonan pertukaran majikan melalui Program Pertukaran Majikan Khas melibatkan 414 orang pekerja dan telah dipindahkan ke majikan baharu;
- Mengesyorkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk penggantungan kemasukan baki kuota yang telah diluluskan kepada majikan ini seramai 721 orang.
- Aecor Innovation Sdn Bhd:
- Seramai 80 orang pekerja telah memfailkan tuntutan baki gaji & gaji kerja lebih masa bulan Julai 2023 hingga September 2023 berjumlah RM537,600.00 di Pejabat Tenaga Kerja Bangi. Sebutan kes telah dijalankan pada 21 Februari 2024 namun tiada penyelesaian dan perbicaraan kes telah ditetapkan pada 26 Jun 2024 sehingga 29 Jun 2024.
- Satu kertas siasatantelah dibuka atas kesalahan menempatkan pekerja di penginapan yang tidak mempunyai sijil Perakuan Penginapan dari JTKSM di bawah seksyen 24D Akta 446. Majikan telah didakwa dan didenda sebanyak RM5,000 di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada 6 September 2023 ;
- Majikan telah membuat permohonan pertukaran majikan melalui Program Pertukaran Majikan Khas melibatkan 96 orang pekerja dan telah dipindahkan ke majikan baharu;
- Mengesyorkan kepada pihak JIM untuk penggantungan kemasukan baki kuota yang telah diluluskan kepada majikan ini seramai 166 orang.
- Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd:
- Satu kertas siasatan telah dibuka atas kesalahan lewat bayar gaji di bawah Seksyen 19 Akta 265 dengan denda RM3,000 dikenakan terhadap majikan. Selain itu, satu lagi kertas siasatan turut dibuka atas kesalahan tiada perakuan penginapan daripada JTKSM di bawah Seksyen 24D Akta 446. Majikan dikenakan denda berjumlah RM10,000 Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada 12 September 2023 dan 18 Oktober 2023;
- Majikan telah membuat permohonan pertukaran majikan melalui Program Pertukaran Majikan Khas melibatkan 118 orang pekerja dan telah dipindahkan ke majikan baharu;
- Mengesyorkan kepada pihak JIM untuk penggantungan kemasukan baki kuota yang telah diluluskan kepada majikan ini seramai 104 orang.
- Selain itu, JTKSM turut mengenalpasti terdapat 23 orang pekerja
asing warganegara Bangladesh dari syarikat GT-M Marketing Sdn Bhd.
Pekerja – pekerja asing tersebut ditempatkan di penginapan yang tidak
mempunyai sijil Perakuan Penginapan dari JTKSM. Tindakan
pendakwaan telah dijalankan ke atas majikan di bawah Seksyen 24D,
Akta 446 dengan amaun denda berjumlah RM5,000 di Mahkamah
Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada 12 Julai 2023. Majikan juga telah diarahkan untuk memindahkan pekerja asing tersebut ke penginapan pekerja berpusat di Lodge Residence, Nilai. Majikan telah membuat permohonan pertukaran majikan bagi 23 orang pekerja kepada majikan baharu.
- Buat masa ini JTKSM tidak menerima sebarang aduan berkaitan syarikat QL Marketing Sdn Bhd. Walau bagaimanapun, JTKSM dalam tindakan siasatan berhubung isu pengabaian pekerja asing terhadap syarikat ini.
- KESUMA akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap majikan-majikan yang gagal mematuhi undang – undang perburuhan dan tidak akan berkompromi kepada mana – mana pihak yang terlibat dalam kes eksploitasi pekerja asing yang membawa kepada amalan buruh paksa dan pemerdagangan orang.
Sekian, terima kasih.