Pendapat awal saya mengenai pelanjutan tempoh kawalan pergerakan kepada 14 April 2020:
1. Langkah ini amat diperlukan untuk memastikan jumlah jangkitan tidak bertambah. Saya percaya ini adalah nasihat yang diberikan oleh pakar perubatan. Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk terus mematuhi perintah kawalan tersebut sepenuhnya.
2. Walaubagaimanapun, ramai orang, termasuk saya, bertambah risau tentang kesan Covid-19 terhadap ekonomi negara. Sudah tentu punca pendapatan masing-masing akan terkesan. khususnya golongan B40.
3. Perkara yang paling saya risau adalah terdapat keluarga yang mungkin terputus langsung bekalan makanan. Memang ada rakan-rakan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tempoh kawalan ini mungkin menyebabkan mereka tiada wang langsung untuk membeli makanan untuk keluarga.
4. Untuk ini, saya sedang berusaha dengan beberapa pihak untuk mengenalpasti dan membantu mereka. Perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan dalam tempoh kawalan sehingga 14 April ini, tiada keluarga yang tercicir dari segi makanan dan barang keperluan asas.
5. Saya juga menyeru supaya kita jaga sesama sendiri. Bukan sahaja keluarga terdekat, tetapi lihat-lihat jugalah jiran tetangga. Kalau ada yang memerlukan bantuan, kita cuba membantu.
6. Kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif dan bantuan. Ada yang baik, yang yang tidak berapa baik. Kita berharap insentif tambahan yang bakal diumumkan pada 30 Mac 2020 nanti akan dapat membantu rakyat dengan lebih berkesan.
7. Contohnya, Pakatan Harapan telah mengesyorkan supaya penerima BSH diberi peruntukan kecemasan sebanyak RM1000 untuk bulan Mac dan April. Saya menyokong cadangan ini kerana ia memang akan membantu golongan B40 yang paling teruk terkesan.
8. Apa-apapun, saya berharap rakyat Malaysia akan kekalkan semangat. Jangan hilang harapan. Kita harungi cabaran ini bersama-sama dan bangkit semula nanti.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

