MELAKA, 13 FEB – Menteri Komunikasi & Multimedia, YB Gobind Singh Deo menyarankan orang ramai untuk menyemak kesahihan sesuatu berita yang diterima sebelum disebarkan kepada orang lain bagi memastikan berita yang disebarkan itu tepat dan benar.
Gobind berkata sedemikian sewaktu program Jabatan Penerangan “Info On Wheel” (IOW) hebahan maklumat mengenai isu nasional seperti Covid-19, e-Tunai Rakyat, mySalam dan lain-lain lagi di Terminal Melaka Sentral.
Gobind menjelaskan bahawa program IOW yang telah bermula sejak 23 Januari yang lalu berperanan bagi memberi hebahan dan edaran risalah yang melibatkan hal ehwal negara yang terkini seperti wabak Covid-19, e-Tunai Rakyat, PekaB40 dan lain-lain lagi.
“Sejak 23 Januari sehingga 12 Februari lalu sebanyak 1,775 program IOW sudah dijalankan di seluruh negara membabitkan 3,895 lokasi tumpuan orang ramai antaranya pasar, medan selera, lapangan terbang, pasar raya serta kawasan perumahan,” kata Gobind lagi.

Menyentuh mengenai penyebaran berita palsu, beliau menyifatkan langkah tegas telah diambil oleh kerajaan dalam menangani penyebaran berita palsu terutama sekali sejak penyebaran wabak Covid-19 mula tersebar.
“Kita perlu mengelakkan daripada berkongsi maklumat yang belum kita selesaikan ataupun tidak pasti bagi mengelakkan lebih kekeliruan atau masalah sampingan akibat daripada itu,” katanya di sidang media pada Program ‘Info On Wheels’ di Terminal Melaka Sentral.
Hadir sama pada program tersebut, Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong yang turut memuji keberkesanan Program ‘Info On Wheels’ dalam menyebarkan maklumat terkini kepada rakyat.


