Sepanjang minggu ini dan minggu lalu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka terus-menerus memberikan khidmat bakti kepada semua penduduk di Parlimen Kota Melaka.
Program Food Bank Kota Melaka yang telah dilancarkan pada bulan September yang lalu terus berlangsung bagi bulan kedua.
Pada bulan kedua ini, penerima-penerima sebelum ini sekali lagi menerima bekalan makanan untuk kali kedua.
Manakala, lebih 30 penerima baharu bantuan bekalan makanan daripada Food Bank Kota Melaka menerima bekalan makanan bagi bulan Oktober 2020.
Sambutan amat menggalakkan daripada pelbagai segi melibatkan penyertaan lebih ramai sukarelawan selain daripada permohonan-permohonan baharu di serata pelusuk Parlimen Kota Melaka dan juga kawasan-kawasan di sekitarnya seperti Bukit Katil, Ayer Molek dan lain-lain lagi.
Selain itu, para penderma juga menyumbang seadanya melibatkan bekalan makanan yang diperlukan bagi program ini seperti beras, tepung, minyak masak dan banyak lagi.
Para sukarelawan juga turut bertungkus-lumus dengan menziarah para penerima yang layak dan menghantar bekalan makanan kepada penerima-penerima yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang kudrat bagi menjayakan program Food Bank Kota Melaka pada bulan ini.






Disamping itu, beberapa sumbangan yang telah diberikan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka bagi membantu para peniaga kecil telah membuahkan hasil.
Sejak beberapa bulan yang lepas, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka dan rakan-rakan sukarelawan lain telah bersama-sama bergotong-rooyng membaik pulih gerai makan Puan Rohana di Bukit Tempurung, Bandar Hilir. 
Pada minggu ini gerai makan tersebut telah mula beroperasi dan dirasmikan oleh ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong pada hari Selasa 13 Oktober 2020.
“Saya amat berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu Puan Rohana mencari sumber pendapatan dan membina masa depan yang lebih baik” ulas Poay Tiong.


Raya syukur tidak terhingga melihat kedatangan ramai pelanggan di gerai Puan Rohana. Semoga perniagaannya bertambah maju dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Selanjutnya, aktiviti-aktiviti kebajikan turut terus dilaksanakan oleh wakil-wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka.
Seperti minggu-minggu sudah, urusan pendaftaran JKM diuruskan oleh Encik Hairil Anuar bagi penduduk-penduduk di kawasan DUN Duyong dan Telok Mas buat mereka-mereka yang layak.

Pemberian sumbangan daripada YB Khoo Poay Tiong iaitu wang sagu hati dan lampin pakai buang buat warga-warga emas yang memerlukan juga turut diserahkan pada minggu ini.

Seterusnya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka turut menerima aduan mengenai dahan-dahan pokok yang sudah begitu panjang.
Sehubungan dengan itu, melalui kerjasama dengan rakan-rakan ARiF, kami bergotong-royong menebang dahan-dahan pokok yang sudah panjang di Telok Mas dan Padang Temu.
Perkara ini amat penting bagi memastikan pokok-pokok yang sudah menjalar ini tidak menghalang jalan raya utama dan tiang-tiang elektrik dan lampu.



Semoga segala usaha yang telah dijalankan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukan para penduduk.
Pusat Khidmat Rakyat akan sentiasa turun membantu para penduduk yang mengalami kesulitan dalam urusan harian mereka.

