Kes Azam Baki mula didedahkan pada bulan Oktober tahun lepas. Sehingga hari ini, sudah lebih daripada 3 bulan perkara tersebut dibangkitkan.
Kes pemilikan saham tersebut amatlah serius kerana beliau merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Beliau merupakan orang utama dalam agenda membanteras rasuah di Malaysia.
Oleh itu, setiap tindakan dan keperibadian beliau mencerminkan keseriusan negara Malaysia untuk membanteras rasuah.
Beberapa hari yang lepas, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 telah jatuh ke tangga ke 62. Ini adalah tahun kedua berturut-turut kedudukan Malaysia jatuh.
Perkara ini tidak menghairankan kerana CPI menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap agenda anti-rasuah di Malaysia. Ketua Pesuruhjaya seolah-olahnya bebas daripada siasatan hanya dengan memberi alasan “akaun digunakan oleh adik saya”.
Pada minggu lepas, sekumpulan besar anak muda telah mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur terhadap kes ini. Ini menunjukkan orang ramai marah dan bimbang terhadap isu ini.
Maka kes Azam Baki tidak boleh ditutup begitu sahaja. Apa yang dituntut adalah suatu siasat penuh dan terbuka terhadap beliau.
Malangnya setakat ini belum ada siasatan yang memuaskan.
Laporan polis telah dibuat terhadap beliau, namun polis menyampaikan kes tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Suruhanjaya Sekuriti membuat kesimpulan yang membingungkan bahawa Azam Baki tidak menyalahgunakan akaun saham beliau, walaupun beliau sendiri mengaku bahawa akaun telah digunakan oleh adiknya. Suruhanjaya Sekuriti tidak memberikan sebarang maklumat lanjut tentang keputusan mereka.
Pada masa yang sama, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), iaitu Tan Sri Abu Zahar, telah membuat kenyataan bahawa beliau berpuas hati dengan penjelasan Azam Baki. Beberapa hari kemudian, enam orang ahli LPPR yang lain menyangkal kenyataan Abu Zahar.
Parlimen turut memainkan peranan yang penting untuk menyiasat perkara ini. Antara peranan utama parlimen ialah sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran negara.
Jawatankuasa Pilihan Khas di parlimen telah memanggil Azam Baki ke suatu mesyuarat untuk menjelaskan isu pemilikan saham beliau. Namun, Azam Baki enggan hadir dan memberikan banyak alasan yang tidak munasabah.
Perdana Menteri pula kata kes telah tutup dan kita tidak perlu membangkitkannya lagi.
Kesimpulannya, sehingga hari ini, masih tiada penyiasatan yang menyeluruh terhadap Azam Baki.
Ada pihak yang menuduh bahawa kes Azam Baki dipolitikkan. Ini tidak benar kerana apa yang dituntut hanyalah penyiasatan menyeluruh. Desakan terhadap Azam Baki semakin serius kerana beliau dan kerajaan enggan menjalankan siasatan.
Berani kerana benar. Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan jika tiada kesalahan dilakukan.

