KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KETIGA
MESYUARAT KETIGA
Selasa, 3 November 2020
Mesyuarat dimulakan pada pukul 11.30 pagi
DOA
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
UCAPAN DI BAWAH USUL
BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)
Projek Naik Taraf Pintu Kawalan Air (Barrage)
Muara Sungai Melaka
11.34 pg.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan saya pada pagi ini di dalam Kamar Khas yang mulia ini ialah projek naik taraf pintu kawalan air (barrage) muara Sungai Melaka. Tuan Yang diPertua, perkara yang ingin saya utarakan ialah projek naik taraf pintu kawalan air (barrage) muara Sungai Melaka. Fungsi utama barrage ini adalah untuk kawalan air semasa banjir dan untuk kawalan aras air bagi pengoperasian bot.
Maka, projek ini amat penting untuk kesejahteraan penduduk di Bandar Melaka. Sejak 5 tahun yang lepas lagi, stesen pintu kawalan air dan barrage yang terletak di muara Sungai Melaka telah mengalami kerosakan yang teruk dan ini menyebabkannya tidak boleh beroperasi secara sepenuhnya. Saya dimaklumkan bahawa hanya satu daripada empat pintu barrage yang boleh beroperasi. Ini meningkatkan risiko banjir kepada penduduk setempat kerana kelancaran aliran air sungai ke laut ketika musim hujan terganggu.
Justeru, ini merupakan salah satu punca utama banjir kilat berlaku di kawasan-kawasan yang rendah seperti di kawasan Kota Laksamana, Taman Merdeka dan penempatan-penempatan berhampiran Sungai Melaka. Turut terkesan ialah aktiviti pelancongan di sekitar muara Sungai Melaka khasnya operasi river cruise, kerana kualiti air sungai menurun serta berbau busuk.
Tuan Yang di-Pertua, saya diberitahu bahawa peruntukan projek ini telah dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020. Saya juga dimaklumkan bahawa projek ini telah diluluskan dan proses tender sepatutnya telah dilaksanakan awal tahun ini. Maka dengan ini, saya memohon penjelasan daripada pihak kementerian tentang status terkini projek naik taraf pintu kawalan air (barrage) muara Sungai Melaka ini termasuklah dari segi peruntukan yang disediakan, kerja-kerja yang telah dilaksanakan dan garis masa projek. Sekian, terima kasih.
11.37 pg.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air [Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad]: Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertamanya, saya ucapkan juga terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Tuan Khoo Poay Tiong dari Kota Melaka kerana mengambil berat akan perkara ini kerana ini berkaitan dengan masalah rakyat setempat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Kota Melaka, saya mengambil peluang ini untuk memberitahu dan memaklumkan bahawa status bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih stesen pintu kawalan air ataupun barrage muara Sungai Melaka ini adalah dalam peringkat pelaksanaan kerja-kerja awalan, bermakna kerja sudah dijalankan.
Surat Setuju Terima ataupun SST kepada pihak kontraktor yang telah terpilih dikeluarkan pada 15 September 2020 dan pada masa ini, kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih stesen pintu kawalan air ini telah bermula pada 8 Oktober 2020 dan dalam peringkat pelaksanaan kerja-kerja awalan seperti membuat pembersihan tapak.
Projek ini dijangka siap, timeline dijangka siap dengan izin, pada 7 Disember 2021. Sekian, terima kasih.

