MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KELIMA
MESYUARAT PERTAMA
Isnin, 14 Mac 2022
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Pengiktirafan dan Sokongan Kepada Atlet Paralimpik
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini, di Parlimen, untuk merakamkan ucapan tahniah kepada atlet Paralimpik negara kita, iaitu saudari Ong Jia Xuan. Beliau berumur 18 tahun dan berasal dari negeri Melaka.
Saudari Jia Xuan telah memenangi pingat emas dan pingat perak dalam acara renang di temasya sukan Asian Youth Para Games (AYPG) yang telah berlangsung di negara Bahrain pada bulan Disember yang lepas. Untuk makluman Tuan Yang diPertua, beliau merupakan antara tiga atlet Malaysia yang telah memenangi pingat emas di AYPG.
Sememangnya Malaysia mempunyai atlet-atlet paralimpik yang hebat dan amat membanggakan. Pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Malaysia turut memenangi tiga pingat emas iaitu dalam acara lompat jauh, badminton dan angkat berat.
Oleh itu, kerajaan wajar terus menyokong dan membangunkan ekosistem sukan paralimpik di negara supaya prestasi ini dapat ditingkatkan lagi, khususnya untuk membolehkan atlet-atlet paralimpik negara kita memenuhi bakat mereka. Maka saya memohon penjelasan daripada Menteri mengenai dasar dan program-program pembangunan sukan paralimpik di Malaysia.
Berbalik kepada saudari Ong Jia Xuan, pada bulan yang lepas, saya telah melawat ke rumah beliau untuk memberi sokongan dan menyampaikan sedikit insentif menggunakan peruntukan Ahli Parlimen.
Saya juga mendapati bahawa AYPG tidak termasuk dalam senarai temasya sukan yang diiktiraf oleh kerajaan untuk insentif kemenangan. Dengan ini, saya memohon pertimbangan semula Menteri dalam perkara ini supaya atlet-atlet paralimpik kita boleh menerima pengiktirafan yang sepatutnya. Selain Jia Xuan, terdapat lapan atlet lain yang telah memenangi pingat di AYPG tahun lepas.
Untuk makluman Menteri, saudari Jia Xuan mempunyai semangat yang tinggi dan berhasrat untuk bertanding dalam sukan paralimpik 2024 di Paris. Beliau telah menerima tawaran daripada negara lain untuk berlatih di sana dan mewakili mereka. Saya berharap pihak kementerian boleh memberi insentif dan sokongan teknikal yang berterusan kepada beliau supaya kita tidak kehilangan bakat dan potensi yang ada pada beliau. Sekian, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, silakan Yang Berhormat Menteri.
Menteri Belia dan Sukan [Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman ahli Yang Berhormat Kota Melaka, Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) memberi tumpuan kepada sukan berprestasi tinggi dengan program yang tersusun di peringkat bakat sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Pelbagai program dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan atlet dan pengembangan penglibatan atlet-atlet OKU dilaksanakan seperti Program Podium, Pelapis Negeri dan Bakat.
Bagi Program Podium, atlet-atlet menjalani program latihan atlet sepenuh masa di bawah bimbingan jurulatih yang berkelayakan dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan wang disediakan oleh MSN. Selain daripada itu, MSN juga memberikan tumpuan kepada pelaksanaan program pembangunan atlet para. Di antara inisiatifinisiatif yang dilaksanakan adalah penubuhan pusat latihan melibatkan tujuh jenis sukan iaitu olahraga, memanah, renang, powerlifting, ping pong, boccia dan badminton sedang giat menjalani latihan secara sambilan di pusat-pusat latihan yang telah ditetapkan dengan kelengkapan dan kemudahan latihan asas bagi memberi peluang kepada atletatlet kelainan upaya menjalani latihan.
Kedua, pelaksanaan kejohanan dan sirkit kebangsaan yang menyediakan peluang pertandingan di peringkat kebangsaan dan negeri sebagai salah satu usaha mencungkil potensi bakat baharu.
Ketiga, kem bakat dan klinik sukan dirancang untuk mencungkil bakat-bakat OKU yang baharu dalam acara sukan. Atlet yang mempunyai kemahiran dan berpotensi akan dikenal pasti dan diberikan peluang untuk menjalani latihan di pusat-pusat latihan sedia ada serta menyertai kejohanan dan sirkit-sirkit anjuran di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa melaksanakan program-program pembangunan ini dengan penglibatan dan kerjasama pemegang-pemegang taruh yang terdiri daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Persatuan Sukan Kebangsaan, PERKESO, pusat rehabilitasi di hospital dan Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON).
Usaha untuk memperkasakan medium sedia ada ini sentiasa dipertingkatkan bagi mewujudkan ekosistem sukan Paralimpik yang lebih teratur dan tersusun.
Tuan Yang di-Pertua, bagi menghargai pencapaian atlet-atlet negara, Kementerian Belia dan Sukan memberikan pengiktirafan yang setaraf kepada atlet normal dan para menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (SHAKAM). Pemberian skim ini adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria yang telah digariskan oleh MSN seperti pengiktirafan oleh persatuan sukan antarabangsa, kekerapan penganjuran, bilangan penyertaan negara, bilangan peserta dalam acara, proses kelayakan dan sebagainya.
Asian Youth Para Games (AYPG) tidak disenaraikan dalam pemberian Skim Hadiah Kemenangan Atlet Remaja (SHAKAR) menerusi SHAKAM disebabkan perkara-perkara seperti berikut;
(i) temasya peringkat remaja ini tidak menetapkan sebarang syarat kelayakan penyertaan sebaliknya tertakluk kepada kesediaan negara-negara peserta untuk membelanjakan peruntukan bagi menghantar atlet remaja para masing-masing. Kebanyakan kejohanan berstatus tinggi akan menetapkan syarat kelayakan tertentu bagi menentukan kualiti penyertaan seperti mana yang diamalkan dalam temasya ataupun kejohanan-kejohanan antarabangsa yang lain;
(ii) pihak Asian Paralympic Committee (APC) tidak mempunyai sebarang proses kelayakan penyertaan;
(iii) APYG tidak menjadikan proses klasifikasi sebagai syarat penyertaan mengikut acara sebaliknya hanya membenarkan penyertaan berdasarkan kategori kecacatan tertentu. Ini bagi membolehkan semua atlet tersebut diberi peluang untuk menyertai pertandingan;
(iv) bagi tujuan memberi peluang dan galakan penyertaan maka, Minimum Qualification Standard (MQS) yang rendah telah digunakan;
(v) kelonggaran syarat kalisifikasi menyebabkan beberapa kategori kecacatan digabungkan dalam satu acara; dan
(vi) penggabungan yang dilakukan dalam AYPG tidak menepati ketetapan International Paralympic Committee (IPC) yang sepatutnya membenarkan penggabungan dua kategori sahaja tetapi temasya AYPG ini membenarkan lebih daripada dua kategori digabungkan.
Justeru adalah tidak afdal sekiranya kemenangan atlet tersebut diberikan insentif hadiah kemenangan. Walau bagaimanapun, pihak Kementerian Belia dan Sukan melalui MSN telah membiayai sepenuhnya penyertaan kontinjen Malaysia ke temasya tersebut di Bahrain yang melibatkan sebanyak RM260,000 dan telah disalurkan melalui Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Saudari Ong Jia Xuan merupakan atlet di bawah Program Pelapis Negeri Melaka. MSN kini dalam fasa akhir pelaksanaan Program AsiaComm yang bertumpu kepada atlet-atlet para kebangsaan wang akan menyertai Temasya Sukan Asia, Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022. Sukan Para ASEAN 2022 yang berkemungkinan dianjurkan di Solo, Indonesia mempunyai proses kelayakan yang diperlu dilalui seperti Minimum Qualification Standard (MQS) yang telah ditetapkan dan ini agak sukar untuk beliau sekiranya dibandingkan daripada segi catatan masa yang telah dicatatkan oleh beliau.
Walau bagaimanapun, MSN akan menggalakkan beliau untuk menyertai sirkit kebangsaan MSN yang dilaksanakan di peringkat negeri sebelum membuat pemilihan ke Program Podium pada tahun hadapan. Sekian, terima kasih.

