MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KELIMA
MESYUARAT PERTAMA
Selasa, 1 Mac 2022
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Laporan EIA Makro untuk Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ)
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan Kamar Khas saya pada petang ini berbunyi ‘Laporan EIA Makro untuk Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ)’. Tuan Yang di-Pertua, pada awal tahun 2021, Kerajaan Negeri Melaka telah melancarkan suatu zon pembangunan yang dinamakan sebagai Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ).
Secara ringkasnya, zon pembangunan MWEZ ini melibatkan kawasan tambak laut seluas 25,000 ekar iaitu 33km di sepanjang pesisir pantai negeri Melaka. Skop tambakan laut ini adalah amat besar dan sudah pasti akan memberi kesan mendalam kepada alam sekitar. Sebenarnya projek-projek tambakan laut bukan perkara baharu di Melaka. Sebagai contoh, Projek Melaka Gateway yang kini sudah terbengkalai dan kawasan Limbongan-Klebang telah giat ditambak sejak 10 tahun yang lepas.
Kesan terhadap alam sekitar jelas kelihatan di mana kualiti air di kawasan pesisir pantai telah teruk terjejas. Para nelayan juga telah mengadu bahawa hasil tangkapan ikan telah berkurangan. Di kawasan persekitaran Klebang juga terdapat tumpahan minyak dan kapal yang terbengkalai.
Saya membangkitkan perkara ini untuk mendapatkan pandangan dan penjelasan lanjut daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air daripada beberapa aspek iaitu;
(i) apakah kesan MWEZ dan projek-projek tambakan laut terhadap ekosistem dan alam sekitar pesisir pantai di negeri Melaka?;
(ii) setakat ini, berapakah jumlah projek dan keluasan kawasan tambakan laut yang telah diluluskan di bawah kawasan MWEZ, termasuklah maklumat mengenai tarikh kelulusan dan pihak pemaju yang terlibat; dan
(iii) berapakah Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) berkenaan tambakan laut yang telah dijalankan di Melaka setakat ini, khususnya untuk kawasan MWEZ dan sepertimana yang diwajibkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memberi penekanan lanjut terhadap proses EIA. Pada tahun lepas, saya telah mengemukakan suatu pertanyaan bukan lisan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air untuk bertanya sama ada penilaian EIA telah dilaksanakan oleh MWEZ. Menurut jawapan yang di berikan, Jabatan Alam Sekitar tidak menerima sebarang laporan EIA bagi MWEZ.
Namun hakikatnya, projek-projek tambakan laut telah dan masih berlangsung di bawah MWEZ kerana kaedah pelaksanaan adalah melalui plot pemaju yang berasingan. Jadi berkemungkinan besar EIA dilaksanakan secara berasingan untuk setiap projek tambakan laut yang berbeza. Namun, Jabatan Alam Sekitar harus mengambil kira faktor bahawa kesemua projek-projek tambakan laut itu terangkum dalam MWEZ. Kesan keseluruhan ini tidak dapat dinilai jika penilaian EIA dilakukan secara berasingan untuk setiap projek.
Kerajaan negeri bersama dengan para pemaju harus menyediakan Laporan EIA di peringkat makro ( macro EIA ) untuk keseluruhan projek tambakan laut di pesisir pantai negeri Melaka, iaitu untuk MWEZ. Ini adalah supaya impak alam sekitar boleh dinilai secara keseluruhan. Dengan ini saya turut memohon penjelasan kerajaan mengenai laporan EIA makro ini. Sekian, terima kasih.
Timbalan Menteri Sumber Manusia [Datuk Haji Awang bin Hashim]: Bismillahi Rahmani Rahim, Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Kota Melaka. Terima kasih. Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil maklum mengenai Perancangan Zon Pembangunan Ekonomi Zone Melaka atau Melaka Waterfront Economic (MWEZ) yang melibatkan kawasan penambakan sedia ada dan kawasan penambakan baharu.
Terdapat kesan yang berkemungkinan akan berlaku jika projek penambakan dijalankan tanpa langkah kawalan dan mitigasi yang berkesan iaitu kesan kepada kawasan sensitif alam sekitar seperti di Pulau Upeh, paya bakau dan rumpai laut, kawasan penyu bertelur yang telah dinyatakan dalam Rancangan Fizikal Negara Ketiga dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara.
Untuk makluman, Pulau Upeh telah digazet di bawah seksyen 64(1) iaitu Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai zon yang dilindungi iaitu Pulau Besar dan Pulau Upeh. Selain daripada itu, Pulau Upeh adalah antara pulau yang menjadi tempat persinggahan penyu. Tuan Yang di-Pertua, minta izin [Membuka pelitup muka] Saya penat.
Tuan Yang di-Pertua: Ya, sila.
Datuk Haji Awang bin Hashim: Aktiviti tambakan akan menyebabkan kepupusan penyu dan tiada tempat untuk penyu mendarat dan membiak. Selain daripada itu, kesan lain yang perlu diberi perhatian adalah kesan kepada pesisiran pantai. Antara kesannya yang pertama, hakisan pantai. Kedua, muara sungai cetek. Contohnya projek di Kuala Perlis. Jadi pembaikan kedalaman sungai perlu dilaksanakan bagi memperbaiki aliran sungai dan tidak berlaku gangguan kepada pelayaran. Ketiga, gangguan kepada pelayaran yang cetek. Sekarang ini Kuala Perlis tidak boleh hendak mendarat menurun (unload) dia punya penumpang. Keempat, banjir di kawasan laut di kawasan hulu sungai juga memberi kesan. Kelimanya, kualiti air merosot.
Selain daripada itu, perkara ini memberi kesan kepada nelayan kerana kehilangan kawasan penangkapan ikan berhampiran dan masa perjalanan serta kos operasi akan meningkat selain perubahan ekosistem kehidupan mereka.
Perkara yang kedua iaitu yang disentuh berkenaan dengan jumlah keluasan kawasan tambakan laut yang telah diluluskan di kawasan Melaka ataupun MWEZ ini. Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, jumlah laporan Environmental Impact Assessment (EIA) bagi penambakan yang telah diluluskan di kawasan MWEZ ini sejak tahun 1999 sehingga kini adalah sebanyak 11 projek dengan keseluruhan keluasan yang telah diluluskan adalah berjumlah 1,091.72 hektar. Tadi point itu bahasa Inggeris dan perpuluhan dalam bahasa Melayu. So, kita sekarang sedang menggalakkan bahasa Malaysia.
Kajian juga telah dibuatkan oleh EIA dilaksanakan bagi keseluruhan cadangan pembangunan. Konsep pelaksanaan projek hendaklah mengambil kira perkara-perkara berikut di peringkat awal perancangan;
(i) penyediaan pelan utama keseluruhan projek;
(ii) penyelarasan rancangan tempatan daerah (RTD); dan
(iii) mendapat pandangan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).
Selain daripada itu, kajian hidraulik merupakan salah satu elemen penting dalam penilaian laporan EIA yang perlu memperincikan kajian di setiap fasa pelaksanaan kerana turutan pelaksanaan juga mempunyai impak ke atas alam sekitar.
Isu-isu lain yang perlu diambil kira adalah berkemungkinan terdapat isu kacau ganggu kepada aktiviti perikanan dan juga tapak warisan adalah merupakan perkara yang perlu diintegrasikan dalam perancangan kasar pada ketika ini. Jadi, sekian terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

