KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KETIGA
MESYUARAT KETIGA
Selasa, 19 November 2020
Mesyuarat dimulakan pada pukul 12.00 tengah hari
DOA
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Azalina Othman Said)
mempengerusikan Mesyuarat]
UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)
Inisiatif Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan saya pada petang ini di Kamar Khas adalah Inisiatif Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Tuan Yang di-Pertua, usul saya pada hari ini adalah berkaitan dengan Inisiatif Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang telah diumumkan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2020.
Melalui inisiatif ini, kerajaan menyediakan geran padanan berjumlah 50 peratus sehingga RM5,000 bagi setiap PKS yang layak bagi tujuan mendigitalkan operasi perniagaan mereka. Inisiatif ini memang sangat penting kepada negara khasnya daripada segi memacu perkembangan ekonomi dala era digital ini. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor ekonomi digital menyumbang 18.5 peratus kepada KDNK negara pada tahun 2018 dan ia merupakan antara sektor yang paling pesat berkembang.
Oleh itu, geran padanan yang disediakan oleh kerajaan penting untuk membantu dan memberi insentif kepada sektor swasta terutamanya PKS untuk mendigitalkan operasi dan meningkatkan daya saing mereka. Maka saya memohon penjelasan kementerian daripada segi status pelaksanaan inisiatif ini. Secara khususnya, berapakah permohonan yang telah diterima setakat ini dan berapakah yang telah diluluskan dan juga berapakah dibayar kepada penerima.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyampaikan maklum balas daripada beberapa PKS dan technology solution provider (TSP) yang terlibat dalam program ini. Menurut mereka, masalah utama yang dihadapi ialah daripada segi proses permohonan yang melibatkan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Antara aduan yang diutarakan ialah:
(i) cawangan BSN yang berlainan memberi maklumat mengenai proses permohonan yang berlainan kepada PKS dan TSP. Ini menimbulkan banyak kekeliruan;
(ii) proses permohonan melalui BSN masih menggunakan cara manual. Permohonan tidak boleh dihantar secara online atau melalui e-mel. Malah, ada seorang TSP yang berkata mungkin BSN sendiri perlu memohon geran ini untuk mendigitalkan proses mereka dahulu;
(iii) proses permohonan mengambil masa yang terlalu lama. Menurut aduan yang saya terima, BSN menyatakan permohonan akan diproses dalam tempoh 14 hari tetapi hakikatnya BSN mengambil masa berbulan-bulan selepas permohonan telah dikemukakan;
(iv) BSN telah membenarkan TSP untuk mengemukakan permohonan bagi pihak PKS tetapi syarat yang dikenakan ialah permohonan tersebut mesti dikemukakan kepada cawangan BSN yang berdekatan dengan PKS tersebut. Ini tidak munasabah kerana pihak TSP yang dilantik mungkin berada di negeri yang lain daripada PKS; dan
(v) apabila permohonan diluluskan pula, pembayaran geran kepada TSP mengambil masa yang terlalu lama. Oleh itu, saya memohon respons daripada pihak kementerian mengenai isu-isu ini. Saya juga berharap kerajaan boleh memperbaiki pelaksanaan dan proses permohonan inisiatif ini supaya ia benar-benar berkesan. Khususnya, saya menekankan cadangan supaya proses permohonan dan penyemakan status dijalankan secara digital ataupun online.
Sekian, terima kasih.
Menteri Komunikasi dan Multimedia [Dato’ Saifuddin Abdullah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Kota Melaka. Menerusi Belanjawan 2020, kerajaan telah menggalakkan lebih banyak perniagaan tempatan untuk segera menembusi sfera teknologi dengan menyediakan peruntukan yang tinggi khususnya dalam pembangunan pendigitalan perniagaan. Inisiatif Pendigitalan PKS telah disediakan oleh Kementerian Kewangan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menggunakan perkhidmatan digital dalam operasi perniagaan harian.
Melalui geran ini, usahawan PKS boleh memantapkan lagi proses pendigitalan perniagaan mereka seperti mempromosikan perniagaan melalui perkhidmatan e-dagang, sistem jualan elektronik, pemasaran digital melalui media sosial dan sebagainya. Syarikat yang berkelayakan boleh menerima geran padanan sebanyak 50 peratus atau maksimum RM5,000 daripada jumlah invois. Geran padanan ini terhad untuk satu permohonan sahaja bagi setiap PKS. Walau bagaimanapun, PKS dibenarkan untuk memohon sehingga tiga jenis perkhidmatan pendigitalan dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan pendigitalan yang berdaftar dengan MDEC.
Terdapat tujuh jenis pendigitalan yang ditawarkan yang boleh dipilih oleh PKS iaitu:
(i) sistem electronic point of sale;
(ii) sistem penggajian sumber manusia dan customer
relationship management, dengan izin;
(iii) pemasaran digital atau jualan;
(iv) perolehan;
(v) enterprise resource planning dan perakaunan dan cukai;
(vi) kerja jarak jauh atau remote working; dan
(vii) e-Dagang.
Tuan Yang di-Pertua, perkara-perkara ini yang sudah sedia ada tetapi saya jangka akan ada penambahbaikan sejajar dengan penubuhan Majlis Digital Negara dan 4IR dan saya kira, saya dan Yang Berhormat Kota Melaka nanti kita boleh berhubung tentang perkembangan tentang Majlis Digital Negara dan 4IR yang baharu bermesyuarat kali yang pertama kira-kira dua minggu yang lepas.
Berhubung dengan bahagian kedua ucapan Yang Berhormat, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah melantik BSN sebagai peneraju utama dalam menyalurkan geran tersebut termasuk permohonan, pemprosesan dan pembayaran geran. SME Bank dan MDEC, MDEC di bawah KKMM adalah rakan strategik kepada BSN. Peranan MDEC dalam proses ini adalah hanya di peringkat awal sahaja dalam memberikan khidmat nasihat dalam bidang pendigitalan serta menyediakan senarai syarikat technology solutions provider (TSP) yang terpilih dan telah dipersetujui oleh BSN untuk dipilih oleh PKS sebelum mereka menghantar permohonan kepada BSN.
MOF memaklumkan bahawa sehingga 16 November 2020, sebanyak 5,634 permohonan berjumlah RM16.6 juta telah diterima dan telah meluluskan sebanyak RM14.6 juta kepada 5,087 PKS yang layak. Permohonan yang diluluskan ini ialah pada kadar 90 peratus daripada permohonan.
Berhubung dengan proses permohonan yang melibatkan BSN, ingin dimaklumkan di sini bahawa TSP boleh menghantar ke mana-mana cawangan utama negeri bagi tujuan pemprosesan permohonan yang diterima bagi pihak PKS. Pihak BSN juga telah menugaskan pegawai-pegawai bagi setiap TSP untuk memudahkan urusan berkenan permohonan PKS yang dibuat oleh TSP.
Dalam masa yang sama juga, BSN, SME Bank dan MDEC sedang dalam proses mewujudkan platform permohonan setempat secara digital, satu platform yang diguna sekali. Ia dijangka dapat dilancarkan pada suku pertama tahun 2021. Dengan adanya kemudahan permohonan secara digital, semua pihak PKS dan TSP boleh mengetahui status permohonan secara dalam talian. Secara tidak langsung, ini akan menangani isu-isu kelewatan pemprosesan permohonan geran padanan ini. Selain itu, ia dijangka akan dapat memendekkan jangka masa kelulusan kepada tiga hari sahaja berbanding 14 hari sebelum ini.
Yang Berhormat, saya juga menawarkan kalau kita boleh berhubung lagi selepas ini sebab bagi KKMM, saya kira MDEC boleh main peranan untuk memantau kemajuan daripada segi pendigitalan ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Sekian, terima kasih.

