KOTA MELAKA, 23 SEPTEMBER 2020 – Sepanjang minggu ini ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong giat turun padang bagi memberikan penerangan dan membantu para peniaga kecil bagi mendaftar Geran Khas Prihatin (GKP).
Geran Khas Prihatin merupakan sebuah inisiatif kerajaan melalui bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan bagi meringankan beban kewangan perniagaan di samping meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
Bagi menggalakkan pertumbuhan semula ekonomi terutamany di Parlimen Kota Melaka, Pusat Khidmat Rakyat mengambil langkah bagi turun membantu perusahaan-perusahaan kecil di sekitar Parlimen Kota Melaka.
Sejak hari Selasa yang lalu, ahli Parlimen Kota Melaka telah turun sendiri bagi memberikan penerangan mengenai GKP kepada para peniaga kecil dan sederhana di sekitar Parlimen Kota Melaka.
Bermula pada hari Selasa, sesi penerangan mengenai GKP telah dimulakan di DUN Kota Laksamana melibatkan kedai-kedai dan penjaja makanan di sekitar Jalan Gajah Berang.

Seterusnya pada hari Rabu pula, usaha ini diteruskan di DUN Duyong melibatkan perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana di kawasan Permatang Duyong, Taman Seri Duyong dan Taman Seri Duyong 2.
Selanjutnya pada Khamis pula, sesi penerangan dan pendaftaran telah diadakan di sekitar DUN Kesidang melibatkan beberapa penjaja kecil dan perusahaan kecil dan sederhana di Taman Asean, Medan Selera Malim dan Medan Selera Melaka Baru.


Program ini diteruskan pada hari Jumaat 23 Oktober 2020, di pasar pagi Bukit China dan gerai-gerai makan berhampiran selain turut disambung pada sebelah tengah hari di Ujong Pasir dan Kampung Jawa.

“Saya amat berharap Geran Khas Prihatin ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peniaga kecil dan sederhana di Parlimen Kota Melaka” ujar Poay Tiong.
Tambah Khoo Poay Tiong lagi, Geran Khas Prihatin ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban peniaga kecil dan sederhana di Kota Melaka dan membantu memulihkan semula ekonomi setempat.

Geran Khas Prihatin ini terbuka kepada bukan penerima GKP sebelum ini, warganegara Malaysia, pemohon yang menjalankan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro dengan jumlah jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM300,000 dan jumlah pekerja sepenuh masa tidak melebihi 4 orang, tidak termasuk pemilik.
Selain itu, pemohon juga perlu berdaftar dengan agensi-agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020 ; atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020; dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.
Untuk sebarang maklumat lanjut bolehlah layari https://gkp.hasil.gov.my/ dan tarikh tutup pendaftaran ialah 31 Oktober 2020.

