PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2022)
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan
(a) jumlah Program Pendidikan Pengundi yang telah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dari tahun 2018 – 2022, termasuk maklumat mengenai jumlah peserta, tempat dan perbelanjaan; dan
(b) apakah kandungan/silibus terperinci Program Pendidikan Pengundi tersebut.
JAWAPAN
YB DATO SRI DR. HAJI WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (PARLIMEN DAN UNDANG-UNDANG)
Tuan Yang di-Pertua,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah melaksanakan Program Pendidikan Pengundi sejak tahun 2017 bertujuan supaya segenap lapisan masyarakat diberi kefahaman terhadap peri pentingnya demokrasi, aplikasi demokrasi melalui platform pilihan raya, proses pilihan raya yang dijalankan di Malaysia, tanggungjawab sebagai seorang pengundi dan implikasinya terhadap negara serta menjelaskan isu-isu / cabaran yang sering dibangkitkan semasa pillihan raya diadakan.
Malah, program ini lebih dipergiat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 ketika itu, penguatkuasaan Undi 18 dan seterusnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. Sejak tahun 2017 hingga kini, pendekatan utama dalam memberikan pendidikan terhadap pengundi ialah secara bersemuka. Namun, ketika seluruh dunia menghadapi pandemik COVID19 dan negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan, APR telah menggunakan pendekatan alternatif secara atas talian. Tambahan, ketika negara sedang beralih ke fasa endemik COVID-19, pendakatan hibrid juga diperkenal dimana dua kaedah pendekatan sebelum ini digabung jalin menggunakan teknologi terkini dan platform-platform atas talian yang utama.
a. Jumlah Program Pendidikan Pengundi dari tahun 2018-2022
Sejak tahun 2018 hingga 2022 (kemaskini sehingga 30 Jun 2022), perincian program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

b. Kandungan Program Pendidikan Pengundi
Program Pendidikan Pengundi memberikan penekanan terhadap pelbagai aspek khususnya kepada proses pilihan raya itu sendiri demi memastikan rakyat memahami dan memperbetul persepsi. Di samping itu, program ini dapat membantu rakyat menjadi pengundi berpengetahuan dan seterusnya mampu menggalakkan rakyat berfikir secara rasional dalam membuat keputusan untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi. Topik utama yang terkandung dalam Program Pendidikan Pengundi ialah:
i. Sistem Pemerintahan di Malaysia, SPR dan Sistem Pilihan Raya di Malaysia;
ii. Proses-proses pengundian dan pengiraan undi; dan
iii. Isu dan cabaran dihadapi SPR dalam melaksanakan pilihan raya.
Setelah itu, peserta juga akan menjalani ujian minda demi memastikan peserta benar-benar memahami ilmu yang telah dipelajari dan mampu mempersiap diri sebagai seorang pengundi berpengetahuan.
Sekian, terima kasih.

