Pertanyaan: Bilangan tayar yang digunakan oleh Malaysia dan caranya untuk melupuskan sisa tayar terpakai

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]

TARIKH SOALAN  : 19 MAC 2024 (SELASA)

YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan :-

  1. (a)  berapa bilangan tayar yang digunakan setiap tahun berlandaskan jenis kenderaan seperti kereta, motor, bas dan seumpamanya; dan
  2. (b)  berapa bilangan sisa tayar terpakai setiap tahun dan cara-cara untuk melupuskannya secara kitar semula.

JAWAPAN

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih efisien dan bersepadu di samping memberikan kepuasan yang lebih baik kepada pengguna dari segi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuk sisa tayar yang merupakan salah satu jenis sisa pepejal yang boleh diolah, disimpan dan dilupuskan di tapak pelupusan sampah secara teratur dan terkawal. Kebanyakan tayar terpakai di Malaysia melalui proses retread untuk guna semula atau dikitar semula. Selain itu, terdapat juga aktiviti penggunaan semula tayar terpakai sebagai alat penghadang di trek litar kereta lumba/ go cart, bahan perlindungan anak benih sawit daripada babi hutan dalam aktiviti pertanian dan tujuan landskap.

Bagi kaedah kitar semula pula, tayar terpakai diproses bagi menghasilkan produk-produk seperti berikut:

  1. pemerolehan sisa keluli daripada tayar terpakai;
  2. rubber powder / carbon black;
  • bahan api diesel sekunder; dan
  1. bahan bakar dalam industri simen.

Selain itu, SWCorp telah menjalankan kajian komposisi sisa as disposed iaitu sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan/fasiliti setiap tahun bermula pada tahun 2015 sehingga kini. Kajian ini dijalankan oleh SWCorp Negeri bagi tujuh (7) buah negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007[Akta672]. Jumlah terkini tapak pelupusan yang menjalankan kajian ini, iaitu pada tahun 2023, adalah sebanyak 25 tapak. Kaedah kajian as disposed ini adalah mengikut Malaysia Standard MS 2505:2012 yang dibangunkan oleh SIRIM bersama-sama dengan pakar teknikal yang terlibat. Antara sisa yang diasingkan untuk kajian ini adalah seperti berikut:

  1. sisa makanan (avoidable dan non-avoidable);
  2. kertas;
  • UBC (pembungkus makanan/minuman);
  1. plastik (rigid, film, foam);
  2. diapers;
  3. textile;
  4. getah/kulit;
  5. kayu;
  6. sisa kebun;
  7. kaca;
  8. besi (ferrous/non-ferrous);
  9. Sisa merbahaya (HHW), pelitup muka, sisa bercampur; dan
  10. sisa kategori lain-lain.

Kesemua sisa ini akan diasingkan mengikut kategori dan akan ditimbang bagi mendapatkan berat sisa tersebut. Jumlah peratus sisa yang dilupuskan di tapak pelupusan atau fasiliti seperti insenerator akan direkodkan. Manakala bagi sisa tayar, tiada kajian khusus dijalankan bagi sisa tersebut sebaliknya pengasingan sisa ini adalah dibawah kategori getah dan kulit. Dua (2) kategori ini digabungkan kerana peratus sisa ini yang dilupuskan adalah sangat rendah. Hasil kajian menunjukkan pelupusan sisa ini adalah sebanyak 1.3% bagi tahun 2021, 1.07% bagi tahun 2022 dan 1.79% bagi tahun 2023.

Hasil kajian juga mendapati sisa tayar tiada lagi dan sangat kurang dilupuskan di tapak pelupusan sebaliknya ia diasingkan daripada sisa-sisa lain. Ini kerana terdapat pihak yang berlesen (bukan di bawah seliaan SWCorp) akan mengutip sisa tayar ini dari premis-premis industri dan komersial dan terdapat juga pihak yang akan membeli tayar-tayar terpakai melalui operator tapak. Pihak tersebut akan memproses sisa ini untuk dijadikan bahan kedua serta digunakan untuk tujuan lain seperti bahan bakar dalam industri.

Berdasarkan semakan untuk beberapa negeri yang bukan di bawah Akta 672, didapati terdapat longgokan sisa tayar seperti di Tapak Pelupusan Kayu Medang, Sabah. Hasil semakan juga mendapati tempat tersebut dijadikan sebagai pusat pengumpulan sisa tayar sementara di mana ia akan di kutip oleh syarikat berlesen untuk proses pelupusan selanjutnya.

Sekian, terima kasih.