Pertanyaan: Apakah langkah yang sedang diambil untuk memastikan RUU Perkhidmatan Parlimen akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]

SOALAN

TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah terdapat rintangan kepada pembentangan segera RUU Perkhidmatan Parlimen daripada agensi- agensi Kerajaan seperti sektor awam dan Kementerian Kewangan, dan apakah langkah yang sedang diambil untuk menangani rintangan tersebut supaya RUU ini dapat dibentangkan sebelum hujung tahun 2024.

JAWAPAN

YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh YAB Perdana Menteri ke-10 dan ahli-ahli Jemaah Menteri komited dan telah bersetuju secara prinsip bagi meminda Perlembagaan Persekutuan dan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu, antara lain bagi memberikan kuasa autonomi pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen serta mewujudkan Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi mengendalikan semua urusan pentadbiran Parlimen Malaysia di bawah skim perkhidmatan yang baharu.
  2. Langkah reformasi ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI ke arah memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif, dan akan terus memperkasakan semangat perlembagaan dengan izin, constitutionalism.
  3. Bagi merealisasikan usaha reformasi ini, beberapa sesi libat urus yang berkesan, dengan izin, meaningful engagements telah diadakan pada tahun 2023 dan 2024 dengan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bagi memuktamadkan ketetapan dasar berkenaan dengan perkara ini.
  4. Berikutan maklum balas yang diterima daripada JPA dan MOF, pihak BHEUU, JPM telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu mesyuarat penyelarasan pada bulan Februari 2024 bersama SPA, JPA, MOF dan AGC bagi meneliti aspek saraan dan pencen bagi pegawai-pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Parlimen, bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terjaga.
  5. Memorandum Jemaah Menteri yang lebih komprehensif sedang disediakan oleh BHEUU, JPM bagi memastikan Kerajaan MADANI dapat membentangkan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan serta Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu dalam masa yang terdekat ini.
  6. Usaha pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu ini yang akan dibentangkan tidak lama lagi merupakan prioriti Kerajaan MADANI bagi terus meningkatkan imej dan peranan Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi dalam negara serta meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia mengenai integriti Parlimen dalam menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sekian, terima kasih.