Kota Melaka Minggu Ini: Mereka Juga Manusia

Pada beberapa hari lepas, rakyat Melaka digemparkan dengan penampilan seorang wanita Rohingya bersama-sama dengan 3 orang anaknya yang berkeliaran di sekitar stesen bas Melaka Sentral. Oleh yang demikian, Pegawai Perhubungan Parlimen Kota Melaka, Encik Hairil Anuar bersama-sama dengan Pegawai Penyelidik ahli Parlimen Kota Melaka, saudara Shahrul Shahabudin bergegas ke Melaka Sentral bagi membantu wanita tersebut dan semua anak-anaknya.

Bersama dengan rakan-rakan yang lain, kami mencari mereka di sekeliling Melaka Sentral. Selepas 30 minit kami berkeliaran di Melaka Sentral barulah kami  menemui mereka di bahagian hadapan tempat menunggu bas persiaran. Wanita tersebut dan 3 orang anaknya yang masih kecil duduk dalam keadaan penuh kelaparan selepas semalaman tidak makan. Apabila kami menemui beliau, sebarang soalan yang kami ajukan kepada beliau tidak dijawab. Rupanya beliau tidak fasih bahasa Melayu. Ah, sudah bagaimana kami boleh membantunya? Nasib baik kami menemui 2 orang lelaki Rohingya yang terus menjadi penerjemah bagi memudahkan kami semua untuk membantu wanita tersebut.

Raut wajah wanita Rohingya tersebut ternyata penuh kerisauan memikirkan apalah nasib hidupnya sekeluarga. Selepas beliau dan anak-anaknya menjamah makanan yang kami belikan, barulah beliau mula bersemangat sedikit untuk berbual dengan kami. Rupa-rupanya beliau dan anak-anaknya lari meninggalkan rumah mereka kerana takut akan suaminya yang pernah memukulnya pada beberapa minggu yang lalu. Suaminya sudah disumbat ke dalam penjara pada 2 minggu yang lalu tanpa sebarang khabar berita dan membawa pergi sekali segala dokumen-dokumen pengenalan diri milik isteri dan anak-anaknya. Maka sebab itu, wanita Rohingya yang bernama Aisyah (bukan nama sebenar) bersama-sama dengan anak-anaknya yang berumur dari 3 hingga 8 tahun nekad meninggalkan rumah mereka kerana risau akan kepulangan suaminya secara tiba-tiba.

Berbual bersama Puan Aisyah bagi mendengar sendiri keluhan beliau

Pada waktu itu, kami sibuk memikirkan apa jenis bantuan yang boleh kami usahakan. Malang sekali kebanyakan bantuan-bantuan yang tersedia di Malaysia ini hanya terhad kepada rakyat Malaysia sahaja. Apabila dihubungi, Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan bahawa sebarang bantuan yang boleh mereka sediakan terhad kepada rakyat Malaysia sahaja. Buntu kami semua buat seketika. Tapi apakan daya, usaha murni ini tetap perlu diteruskan. Kemudian, kami pun menghantar Aisyah dan anak-anaknya pulang ke rumah mereka yang terletak di Alai, Melaka.

Menghantar Puan Aisyah dan anak-anaknya pulang ke rumahnya di Alai, Telok Mas

Sesudah kami tiba di rumah Puan Aisyah, rumah mereka kelihatan begitu teruk. Pintu depannya sudah lopong dan keadaan rumahnya sungguh kotor serta penuh dengan semak samun. Selepas itu, kami terus berbual dengan Puan Aisyah sambil dibantu oleh jurubahasa kami. Rupanya Puan Aisyah sudah 20 tahun menetap di merata tempat di Malaysia bersama-sama dengan suami dan anak-anaknya. Beliau juga sudah menjadi seorang Muslim sejak 20 tahun yang lalu. Apa yang lebih menyedihkan apabila beliau sedang menghidapi penyakit tiroid. Tiroid sudah sebesar buah epal, malahan lebih besar lagi. Namun disebabkan kemiskinan, beliau tidak mampu untuk menerima rawatan.

Buat pengetahuan semua, penyakit tiroid dan penyakit mental mempunyai simptom-simptom yang hampir sama. Seperti rasa tertekan, mudah marah dan banyak lagi. Hasil daripada perbualan kami dengan jiran-jirannya, seolah-olah wujudnya salah faham antara suami Puan Aisyah dengan suaminya kerana suaminya tidak memahami penyakit yang dialaminya. Disebabkan oleh faktor ini, mereka sering bertengkar dan pada akhirnya pertengkaran mereka berakhir dengan suaminya memukul Puan Aisyah pada beberapa minggu lalu sebelum ditangkap oleh pihak polis setelah seorang lagi anak lelakinya membuat laporan polis. Langsung, kami pun mencari anak lelakinya yang dikatakan itu di Medan Ikan Bakar, Alai.

Cuba menenangkan Puan Aisyah dan meyakinkan beliau untuk tidak lari dari rumahnya lagi

Anak lelakinya bernama Hisham (bukan nama sebenar), fasih dia berbicara dalam bahasa Melayu. Dah piau macam orang Melaka. Langsung Hisham pun bercerita kepada kami. Hisham sudah tidak duduk serumah dengan keluarganya kerana beliau menyewa bersama dengan kawan-kawannya. Selain itu, beliau juga tidak menyenangi bapanya. Hisham berkongsi lagi, bahawa ibunya sering lari meninggalkan rumah dan sudah beberapa kali dihantar pulang oleh pihak polis. Hisham yang berumur 20 tahun bercerita kepada kami yang sebenarnya beliau mempunyai beberapa orang lagi adik yang sudah terpisah dengan keluarga mereka dan sekarang ini berada di Myanmar. Hishamlah yang membuat laporan polis terhadap bapanya selepas bapanya memukul ibunya Puan Aisyah. Tambah Hisham lagi, bapanya seorang penagih dadah. Walaupun Hisham kelihatan tenang, namun jauh di dalam hatinya terbit rasa sedih apabila bercerita tentang keadaan keluarganya.

Apabila hari hampir senja, bersama-sama dengan komuniti Rohingya di Alai, kami menghubungi UNCHR bagi membantu Puan Aisyah dan anak-anaknya untuk meneruskan kehidupan. Tidak banyak yang boleh kami bantu selain daripada memberikan kit makanan serta sedikit wang. Semoga pihak UNCHR dapat mengambil tindakan segera supaya Puan Aisyah dan anak-anaknya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, mendapat peluang pendidikan dan rawatan kesihatan yang berguna. 

Pegawai Perhubungan Parlimen Kota Melaka, Encik Hairil Anuar meninjau sendiri keadaan rumah Puan Aisyah

Peristiwa ini ternyata membuka mata saya bagi melihat sendiri penderitaan yang dilalui oleh suaka-suaka politik yang menetap di negara ini. Hidup penuh dengan ketidak tentuan dan ketakutan. Selain itu, masalah yang mereka lalui juga sedang dilalui oleh masyarakat di Malaysia terutama sekali di zaman Covid-19. Masalah rumah tangga, penderaan dan  tekanan perasaan ini menjadi masalah yang mendadak naik sejak setahun yang lalu. Tanpa kerakyatan masalah yang dilalui mereka ini menjadi lebih parah dan kelihatan tidak wujud sebarang cahaya di hujung terowong. Bantuan yang dapat dinikmati oleh kebanyakan rakyat Malaysia tidak dapat mereka rasai. Rawatan percuma di klinik kesihatan dan hospital-hospital kerajaan juga tidak mampu untuk mereka bayar. Jadi apakah jalan keluar buat mereka? Apakah anak-anak kecil Puan Aisyah tidak wajar untuk duduk di alam persekolahan seperti kanak-kanak lain di Malaysia? Adakah masa depan mereka akan terus kelam dan gelita pada akhirnya? Bukankah mereka juga manusia. Abdul Rahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur pernah berpesan bahawa di atas politik itu adanya kemanusiaan. 

Oh sebelum saya terlupa, setelah kami selesai membantu Puan Aisyah, beliau sekali lagi nekad untuk lari meninggalkan rumahnya. Sampai bila Puan Aisyah perlu lari?

DISEDIAKAN OLEH SHAHRUL SHAHABUDIN

PEGAWAI PENYELIDIK AHLI PARLIMEN KOTA MELAKA