5 Isu Utama Menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka

Menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka ke-15 yang bakal diadakan pada 20 November ini, sudah pastinya pelbagai isu yang bakal menjadi tumpuan para pengundi dalam memilih parti serta calon mana yang mampu memberi keyakinan kepada para pengundi untuk menerajui kerajaan negeri Melaka. Di sini, lima isu utama yang bakal menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.

  1. Calon Ketua Menteri

Pada setiap pilihan raya umum/negeri yang telah berlangsung di Malaysia sejak tahun 2008 menyaksikan pertarungan hangat dalam calon-calon Perdana Menteri atau Ketua Menteri yang bakal mengetuai kerajaan masing-masing untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Pakatan Harapan yang terdiri daripada parti Keadilan Rakyat (PKR), AMANAH dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah menyelesaikan calon utama bagi Ketua Menteri Melaka. Mantan Ketua Menteri ke-11, Adly Zahari daripada parti AMANAH yang pada pernah menerajui kerajaan negeri Melaka di antara tahun 2018-2020 sekali lagi telah dicalonkan secara sebulat suara oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan. Sehubungan dengan itu, tidak wujud sebarang pergelutan bagi calon Ketua Menteri bagi Pakatan Harapan.

Adly Zahari sepanjang memegang tampuk Ketua Menteri Melaka pada 2018-2020 telah menunjukkan prestasi dan kepimpinan yang cemerlang serta amat disenangi oleh rakyat Melaka. Pelbagai transformasi telah dijayakan oleh kerajaan negeri Melaka untuk kesejahteraan rakyat dengan menjaga kebajikan mereka melalui pelbagai bantuan seperti kad peduli kesihatan yang ternyata meringankan beban rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Sejajar dengan itu, sudah semestinya nama Adly Zahari masih lagi terngiang-ngiang dalam ingatan rakyat di negeri Melaka.

Di pihak Barisan Nasional pula, calon tunggal bagi jawatan Ketua Menteri Melaka nampaknya masih lagi belum dapat diterjemahkan. Sebagai mantan Ketua Menteri Melaka ke-12, sepatutnya Datuk Seri Sulaiman Md Ali mampu menjadi pilihan mudah bagi UMNO-Barisan Nasional. Namun yang demikian, beliau sentiasa dibayangi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Timbalan Badan Perhubungan UMNO Melaka Dato’ Sri Mohamad Ali Mohamad. Justeru itu, ternyata terdapat halangan buat Datuk Seri Sulaiman bagi mempertahankan jawatan beliau wal hal beliau dilihat sebagai calon yang lebih bersih dan menyenangkan ramai. Begitulah politik, pada kebanyakan waktu tidak masuk akal. 

Blok ketiga iaitu Perikatan Nasional juga sehingga kini masih lagi belum jelas soal pilihan calon Ketua Menteri mereka. Jika dilihat daripada struktur kepimpinan parti BERSATU Melaka yang menjadi teraju utama Perikatan Nasional, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen iaitu Pengerusi BERSATU negeri Melaka selayaknya menjadi calon utama. Namun yang demikian, sehingga kini masih lagi tiada kepastian daripada Perikatan Nasional bagi calon utama mereka. Timbulnya desas-desus mengatakan bahawa ahli Parlimen Masjid Tanah (BERSATU), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bakal menjadi calon utama bagi jawatan Ketua Menteri Melaka daripada Perikatan Nasional. Mengambil kira faktor beliau sebagai bakal Ketua Menteri Melaka wanita yang pertama mungkin sahaja perkara ini bakal menarik perhatian ramai. Namun sekali lagi, logik biasa ternyata sukar untuk diterjemahkan dalam politik.

2. Manifesto Pilihan Raya

Salah satu perkara yang pasti dinantikan oleh setiap pengundi sudah tentunya melibatkan manifesto yang bakal ditawarkan oleh setiap parti yang bakal bertanding kelak. Tawaran yang paling menarik buat pengundi sudah semestinya perlu dibuat oleh setiap parti bagi mendapatkan mandat untuk memerintah kerajaan negeri dalam masa 5 tahun akan datang.

Buat masa ini belum ada parti yang telah menerbitkan manifesto-manifesto untuk ditawarkan kepada pengundi. Namun, bagi Pakatan Harapan sudah semestinya manifesto yang bakal ditawarkan mereka berkisarkan kepada usaha-usaha memastikan kesejahteraan rakyat yang telah tertangguh selepas hanya 22 bulan. Pada sebelum ini, sehingga tahun 2019 sahaja sudah 58 daripada 85 janji manifesto iaitu 68% daripada keseluruhan manifesto sudah ditunaikan kerajaan Pakatan Harapan. Maka, sebarang manifesto yang bakal ditawarkan Pakatan Harapan Melaka kelak sudah semestinya mampu meyakinkan rakyat Melaka.

Bagi Barisan Nasional pula, Pengerusi Barisan Nasional Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang bakal diumumkan selepas hari penamaan calon 8 November 2021 ini sebagai sebuah manifesto yang disifatkan sebagai tawaran baharu kepada rakyat Melaka yang menumpukan kepada 3 perkara utama iaitu kestabilan, kemakmuran dan muafakat. Oleh yang demikian, sama-sama kita nantikan manifesto yang bakal dibentangkan oleh Barisan Nasional Melaka selepas hari penamaan calon.

Manifesto pilihan raya Perikatan Nasional juga nampaknya masih lagi belum kelihatan. Dengan kekurangan pengalaman dalam mentadbir kerajaan negeri Melaka (selain Datuk Seri Rafiq), maka Perikatan Nasional dilihat menghadapi cabaran dalam menawarkan sebuah manifesto yang menyeluruh serta memberangsangkan untuk menambat hati pengundi di negeri Melaka. Sudah tentunya tawaran yang bakal dikemukakan oleh mereka bakal menjadi perhatian umum

3. Masalah Banjir Kilat/Penambakan Persisiran Pantai

Tahun 2021 ini ternyata menjadi tahun yang ingin dilupakan oleh rakyat Melaka. Isu banjir kilat terutamanya bersilih ganti sejak 3 bulan lepas. Masalah yang bukan baharu ini sudah tentunya diharapkan dapat diatasi sesegera mungkin oleh mana-mana parti yang bakal memimpin negeri Melaka kelak.

Sehubungan dengan itu, masalah banjir kilat sudah semestinya memerlukan perhatian setiap parti yang bertanding bagi menawarkan sebuah solusi yang lengkap bagi mengatasi masalah banjir kilat ini.

Sebahagian besar daripada masalah banjir kilat ini berpunca daripada kerja-kerja penambakan pasir yang dilakukan di persisiran pantai di negeri Melaka. Projek-projek penambakan pantai ini sebenarnya sudah berlaku sejak puluhan tahun dahulu lagi di waktu pemerintahan Barisan Nasional. Sehinggalah pada era Pakatan Harapan barulah beberapa projek penambakan ini dihentikan sehinggalah ianya disambung semula dengan projek tambakan laut lain oleh kerajaan UMNO dan BERSATU di Melaka selepas Mac 2020.

Sehubungan dengan itu, kesan-kesan penambakan ini bukan sahaja menghakis  pantai-pantai di negeri Melaka serta merosakkan permukaan pantai yang menyukarkan para nelayan untuk menangkap ikan namun turut menyebabkan saluran sungai juga tidak terurus yang menyebabkan limpahan air hujan berlaku sekiranya hujan turun dengan lebat di seluruh negeri Melaka. Maka dengan itu, isu ini sudah semestinya menjadi perhatian utama rakyat dalam memilih parti pilihan mereka pada pilihan raya negeri ini.

4. Industri Pelancongan Yang Lumpuh

Selain daripada industri perkilangan, industri pelancongan menjadi salah satu sektor ekonomi utama bagi rakyat di negeri Melaka. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan pada tahun 2019, meletakkan sektor pelancongan sebagai satu daripada industri utama yang akan dibangunkan bagi kemajuan negeri Melaka dan Malaysia secara keseluruhannya.

Melaka sebuah negeri yang amat terkenal dengan keindahan pantai-pantainya seperti Pantai Klebang dan Pantai Puteri selain turut terkenal dengan warisan sejarah yang pelbagai seperti bangunan A’Famosa dan bangunan Stadthuys yang menjadi warisan penjajah dari Portugal dan Belanda pada suatu masa dulu. 

Pandemik Covid-19 menyaksikan perintah kawalan pergerakan terpaksa dilakukan di seluruh negara yang ternyata memberikan kesan yang amat besar kepada pekerja-pekerja industri pelancongan di Melaka. Peniaga-peniaga kecil dan penarik-penarik beca di sekitar bandaraya Melaka ternyata teruk terkesan daripada ketidak hadiran pekancong di negeri Melaka sejak setahun yang lalu. Penarik beca yang pada sebelum ini dapat menjana sehingga RM 200 sehari hanya dapat menjana RM 50 sahaja seminggu sekiranya ada penumpang yang menaiki beca mereka. Kesan-kesan besar lain yang boleh dilihat pada industri perhotelan di Melaka apabila banyak hotel-hotel ternama di Melaka seperti hotel Ramada, Orchid dan juga Novotel telah menghentikan operasi akibat daripada ketiadaan pelancong di negeri Melaka sejak setahun yang lalu. Penutupan hotel-hotel ternyata memberikan kesan kepada para pekerja mereka yang terpaksa diberhentikan dan kehilangan mata pencarian di saat meghadapi pandemik Covid-19. 

Bagi tahun 2019, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada KDNK Negeri Melaka dengan mencatatkan 48.0 peratus atau RM20,940 juta. Diikuti pula dengan sektor pembuatan iaitu sebanyak 38.4 peratus atau RM16,750 juta. Manakala, kadar pertumbuhan yang dicatatkan adalah 2.8 peratus bagi tahun ini berbanding 3.8 peratus pada tahun 2018.

Pada tahun yang lalu, kerajaan negeri Melaka telah menyasarkan kehadiran pelancong sebanyak 5.6 juta ke negeri Melaka bagi tahun 2021 yang sudah tentunya tidak mampu dicapai. Maka sudah pastilah kerajaan yang bakal memerintah kerajaan negeri Melaka kelak perlu memberikan perhatian terhadap proses pembangunan semula industri pelancongan di Melaka dan membela nasib pekerja-pekerja pelancongan di negeri Melaka. Rancangan yang jitu amat diperlukan dengan segera supaya negeri Melaka dapat menikmati semula impak ekonomi daripada industri pelancongan di negeri Melaka.

5. Covid-19, pengundi luar negeri dan jumlah keluar mengundi di Melaka

Akhir sekali, isu yang turut menjadi perhatian menjelang PRN Melaka nanti adalah berkisarkan mengenai penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan rakyat di negeri Melaka berasa tidak pasti untuk keluar mengundi atau tidak serta menyukarkan rakyat Melaka di luar negeri dan negara untuk pulang mengundi. Perkara ini ternyata membimbangkan semua parti kerana hanya dengan kehadiran pengundi pada hari pengundian sahaja dapat memastikan proses demokrasi yang diperlukan ini dapat menjamin masa depan negeri Melaka untuk 5 tahun yang akan datang.

Rata-rata pengundi di negeri Melaka menyatakan kekecewaan mereka terhadap keputusan mengadakan pilihan raya negeri di saat negara kita baru sahaja mula untuk pulih daripada jumlah kes harian daripada Covid-19 yang tinggi. Sehubungan dengan itu, mereka menyuarakan kegusaran mereka terhadap perjalanan pilihan raya kelak yang disifatkan mereka bakal menaikkan semula kes harian Covid-19 di Melaka terutamanya dan mengulangi sejarah hitam di negeri Sabah sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah ke-15 pada tahun 2020.

Prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 2 minggu yang lalu menyaksikan kempen-kempen pilihan raya secara fizikal tidak dibenarkan. Perkara ini adalah wajar namun adakah ianya dapat benar-benar memastikan tidak wujudnya penularan wabak Covid-19 yang lebih dahsyat sewaktu pilihan raya negeri Melaka kelak. Sehubungan dengan itu, SPR perlu mengeluarkan gerak kerja dan SOP yang lebih menyeluruh dan tersusun menjelang PRN Melaka melibatkan penambahan jumlah pusat mengundi, penambahan waktu dan hari mengundi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam dapat dijaga sebaiknya dan pada masa yang sama proses demokrasi dapat berlangsung dengan lancar. 

Nasib pengundi luar negeri dan negara juga kekal menjadi tanya. Walaupun, SOP bagi undi pos telah dikeluarkan namun secara keseluruhannya adakah undi mereka bakal tiba dengan selamat sebelum hari pengundian. Selain itu, anak-anak Melaka di luar negeri juga masih lagi belum pasti untuk pulang ke kampung bagi mengundi disebabkan oleh segala ketidak tentuan melibatkan isu ekonomi dan kesihatan awam di serata negara. Oleh yang demikian, SPR perlu berusaha meyakinkan rakyat negeri Melaka yang berada di luar negeri untuk pulang menjalankan tanggungjawab mereka. 

https://www.sinarharian.com.my/article/27428/EDISI/Melaka-NS/PH-Melaka-tunai-68-peratus-janji-manifesto

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/882692/manifesto-bn-perinci-kejayaan-tadbir-melaka

https://www.youtube.com/watch?v=tm5ldIciLdE

https://www.melakahariini.my/prn-melaka-umno-angkat-manifesto-anak-muda/

https://www.malaysiakini.com/news/597983

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/689620/melaka-rangka-pakej-pulihkan-sektor-pelancongan

https://www.sinarharian.com.my/article/112943/BERITA/Nasional/Melaka-giat-tarik-pelancongan-dalam-suasana-PKP

https://malaysiaaktif.my/84167

https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/1_Articles_By_Themes/National%20Accounts/GDPbyState/2020/Laporan_Sosioekonomi_Melaka_2019.pdf