150 kontena yang berisi 3,737 metrik tan sisa telah dipulangkan ke negara pengeksport tanpa sebarang caj pemulangan semula.
Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol dan Jepun antara negara-negara maju yang telah mengeksport sampah-sampah mereka ke Malaysia.
Kerajaan amat komited bagi menangani isu kemasukan sisa plastik ke Malaysia serta sebagai amarak kepada negara-negara besar untuk tidak menjadikan Malaysia sebagai destinasi pembuangan sampah sarap mereka.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), YB Yeo Bee Yin tegas dalam usaha beliau bersama-sama dengan kementeriannya untuk memerangi pencemaran yang dilakukan oleh negara-negara luar di Malaysia melalui pembuangan sisa dan sampah sarap.
Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) bekerjasama dengan agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) menghantar sisa pulang sisa pepejal (plastik) ke negara asal di tiga pelabuhan utama negara seperti Pelabuhan Barat dan Utara Klang, Pulau Pinang dan Sarawak.
Lebih membanggakan, operasi penghantaran semula sampah sarap ini tidak mendatangkan sebarang kos kepada Kerajaan malahan semua kos penghantaran semula ini ditanggung sepenuhnya oleh pengimport atau syarikat perkapalan serta merupakan yang pertama kali dalam sejarah negara.
Tindakan penguatkuasaan diambil ke atas kontena sisa plastik yang telah diimport ke Malaysia secara haram serta tidak memenuhi kriteria pengimportan sisa plastik dan obligasi di bawah Basel Convention on Transboundary Movements of Hazardous Wastes and Their Disposal (Konvensyen Basel).
Usaha ini akan diteruskan oleh MESTECC bagi membanteras perdagangan sisa plastik secara haram dan seterusnya mengelakkan Malaysia daripada menjadi tempat lambakan sisa plastik.
Selaras dengan tujuan itu, satu Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik (HS 3915) akan dilancarkan untuk menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di kawasan lapangan oleh agensi-agensi berkaitan seperti JAS, JKDM, JPSPN, SWCorp, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan agensi lain yang terlibat.



