PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
TARIKH : 20 MAC 2024 (RABU)
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan langkah-langkah Kementerian untuk mengawal selia pertumbuhan Confinement Centres yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan bagi memastikan perkhidmatan di pusat-pusat penjagaan tersebut bermutu tinggi demi kesihatan ibu-ibu dan bayi-bayi yang baru dilahirkan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
- Confinement Centres atau Pusat Perkhidmatan Ibu Selepas Bersalin tidak dikawal selia oleh mana-mana akta secara spesifik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Sepertimana lain-lain operasi perniagaan, pengoperasian dan syarat-syarat lesen sesuatu perniagaan tertakluk di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
- Walau bagaimanapun, bagi memastikan kesihatan ibu post natal dan bayi yang baru dilahirkan terpelihara, Lembaga Bidan Malaysia bersama KKM menasihatkan agar pengendali Confinement Centres bertanggungjawab untuk merujuk ibu postnatal atau bayi atau kedua duanya ke fasiliti kesihatan yang berhampiran sekiranya tidak sihat.
- Bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi yang baru dilahirkan terpelihara, KKM menasihatkan agar pengendali Confinement Centres yang menawarkan perkhidmatan perubatan mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada. Sebagai contoh, dalam perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari, menggaji pengamal yang berdaftar di bawah Akta PT&K 2016.
Sekian, terima kasih.