PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEDUA
PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [ Kota Melaka ] minta MENTERI SUMBER ASLI ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan :-
(a) adakah Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan laporan EIA untuk projek terminal pelayaran Melaka Gateway oleh Syarikat KAJ Sdn Bhd memandangkan ia melibatkan penambakan laut; dan
(b) adakah ini bercanggah atau berlebihan (redundant) memandangkan Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan laporan EIA untuk projek terminal pelayaran di kawasan berhampiran oleh Syarikat Far East Sdn Bhd.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih belum menerima Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) bagi cadangan pembangunan di atas Pulau Satu (PME1) daripada pihak Penggerak Projek iaitu syarikat KAJ Development Sdn Bhd. Berdasarkan dokumen Bidang Terma Rujukan (Term of Reference -TOR) yang telah disahkan pada 30 September 2021, pembangunan marina dan terminal pelayaran (cruise terminal) merupakan salah satu daripada komponen pembangunan di atas Pulau Satu (PME1) yang akan diambil kira oleh Penggerak Projek dalam kajian EIA tersebut.
2. Konsep projek yang dinyatakan dalam laporan EIA bertajuk “The Proposed Reclamation of Deep-Sea International Multipurpose Port & Commercial Plot at Kawasan Bandar XLIII (43) & XLVI (44)”, Daerah Melaka Tengah, Melaka oleh Far East (Melaka) Sdn. Bhd. yang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 26 Mei 2023 tidak melibatkan pembinaan terminal pelayaran. Konsep pembinaan terminal pelayaran telah digugurkan berdasarkan ulasan bertulis daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) pada 8 Februari 2023.
Sekian, terima kasih.

