PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA,
PARLIMEN KELIMA BELAS, 2023
PERTANYAAN : JAWAB LISAN
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan status pelaksanaan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), termasuk masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh syarikat pengendali. Adakah Kerajaan telah membuat keputusan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan projek ini.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi membangunkan sebuah sistem keimigresenan baharu yang lebih komprehensif, sophisticated, berteknologi tinggi, bersepadu, mesra pengguna dan berupaya memenuhi keperluan keimigresenan semasa selari dengan perkembangan teknologi terkini bagi menggantikan sistem sedia ada di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) iaitu Sistem myIMMs yang telah beroperasi lebih dari 20 tahun.
Projek NIISe ketika ini sedang berada dalam Fasa Kajian Keperluan dan Reka Bentuk iaitu pada bulan ke-27 pelaksanaannya sejak projek ini dimulakan pada 1 Mac 2021. NIISe yang dijangka beroperasi pada Ogos 2025 akan dapat meningkatkan lagi kualiti penyampaian kemudahan keimigresenan negara.
Projek NIISe tetap diteruskan bagi menggantikan Sistem myIMMs yang telah usang dan tidak lagi mampu menampung keperluan keimigresenan pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, sekiranya kontraktor sedia ada didapati tidak mampu melaksanakan Projek NIISe, Kerajaan akan melantik kontraktor lain yang benar-benar mampu melaksanakan Projek NIISe bagi memastikan sistem baharu untuk penyampaian kemudahan keimigresenan dapat direalisasikan.
Sekian, terima kasih.

