PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEDUA,
PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP menyatakan unjuran kadar inflasi untuk tahun 2023 dan apakah langkah-langkah utama yang sedang atau akan diambil oleh Kerajaan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup.
JAWAPAN
Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kadar inflasi dijangka mencatat antara 2.8% – 3.8% untuk tahun 2023 berikutan prospek ekonomi yang lebih perlahan serta harga komoditi yang lebih stabil.
Sehubungan itu, Kementerian sentiasa cakna akan masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat himpitan kenaikan kadar inflasi ini. Justeru, Kementerian telah mengambil langkah proaktif seperti telah menyalurkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pada awal bulan Januari 2023. BAP sebanyak RM150 diberikan kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa pada Januari 2023. Peruntukan Fasa 1 pada bulan Januari 2023 berjumlah RM 772,447,650.00. Inisiatif ini dapat mengurangkan bebanan kewangan kepada ibubapa. Malahan penjawat awam yang layak juga telah menerima bantuan khas kewangan pada gaji bulan Januari 2023.
Kerajaan juga telah memutuskan agar dasar–dasar atau inisiatif–inisiatif sedia ada yang bermanfaat untuk menangani isu kenaikan harga barang diteruskan termasuk penetapan harga siling minyak masak, pemberian subsidi ayam dan telur ayam dan penetapan harga minyak petrol RON 95 dan diesel. Di samping itu, Program Penyeragaman Harga (PPH) dilaksanakan oleh Kerajaan bagi menyeragamkan harga tujuh (7) barangan asas yang terlibat iaitu beras putih, gula, minyak masak 1kg, tepung gandum, LPG, petrol RON95 dan diesel bagi memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada penduduk di kawasan luar bandar/pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ini antara usaha Kerajaan untuk memastikan semua rakyat menikmati keistimewaan yang diberikan termasuk barangan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati semua pada harga yang sama.
Kerajaan juga telah melaksanakan penurunan kadar tol di dua (2) lebuhraya utama iaitu Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang – Seremban (LEKAS). Penurunan kadar tol ini sekitar RM0.15 sehingga RM0.50. Ini menunjukan Kerajaan cakna dan prihatin dengan beban yang ditanggung oleh pengguna.
Sebagai tambahan, tarif elektrik juga kekal pada kadar semasa sehingga mekanisme penyelesaian baharu diputuskan walaupun Kerajaan terpaksa membelanjakan RM15 bilion bagi tahun 2023.
Sekian, terima kasih.

