MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KELIMA
MESYUARAT KETIGA
Rabu , 5 Oktober 2022
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Inisiatif PENJANA Tourism Financing dan BPMB Rehabilitation Scheme
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, Usul saya pada hari ini adalah berkenaan dengan inisiatif PENJANA Tourism Financing (PTF) dan BPMB Rehabilitation Scheme yang telah diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2022.
Poin pertama saya adalah berkenaan keberkesanan PTF. Tuan Yang diPertua, sebenarnya, inisiatif PTF telah diperkenalkan sejak tahun 2020 dengan dana sejumlah RM1 bilion. Namun, respons terhadap inisiatif tersebut kurang memberangsangkan.
Menurut laporan daripada Kementerian Kewangan, hanya sekadar 730 permohonan telah diterima setakat Februari 2022. Respons yang rendah ini tidak menghairankan, kerana pada ketika itu, sektor pelancongan masih teruk terkesan dengan kekangan COVID-19. Walau bagaimanapun, sektor pelancongan telah kembali rancak ekoran pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April tahun ini. Banyak perusahaan telah mula beroperasi semula dan permintaan telah meningkat.
Inisiatif PTF dan BPMB akan bertambah penting sekarang untuk memastikan perusahaan-perusahaan di sektor pelancongan mempunyai aliran tunai dan wang modal yang secukupnya untuk kembali beroperasi dengan penuh. Oleh sebab itu, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon statistik terkini mengenai jumlah permohonan yang telah diterima dan diluluskan di bawah inisiatif PTF dan BPMB untuk tahun 2022, termasuklah penjelasan mengenai perbezaan antara skim PTF dan BPMB.
Tuan Yang di-Pertua, poin kedua saya ialah berkaitan dengan kadar kelulusan yang rendah. Saya juga ingin membangkitkan suatu masalah yang dihadapi oleh mereka yang pernah memohon PTF. Berdasarkan kepada perbincangan saya dengan pihak industri, mereka menyatakan bantuan PTF ini “boleh dilihat sahaja tetapi tidak boleh disentuh”. Can see but cannot touch, dengan izin Tuan Yang di-Pertua.
Banyak permohonan PTF mereka ditolak oleh pihak bank kerana tidak dapat memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan, seperti kriteria aliran tunai. Daripada 730 permohonan yang diterima, hanya 376 permohonan sahaja diluluskan iaitu hanya sekadar 51.5 peratus sahaja. Perkara ini bertentangan dengan objektif utama PTF, iaitu untuk membantu sektor pelancongan yang teruk terkesan oleh pandemik COVID-19. Sudah pasti pendapatan mereka terjejas. Sudah pasti kedudukan kewangan mereka tidak stabil. Sudah pasti aliran tunai mereka negatif.
Oleh itu, saya pernah menyatakan bahawa bank tidak boleh menggunakan kriteria biasa untuk menilai permohonan-permohonan yang diterima. Kriteria khas perlu diguna pakai untuk tujuan PTF ini. Maka, saya memohon pencerahan daripada kerajaan mengenai langkah-langkah yang telah diambil untuk meningkatkan kadar kelulusan oleh pihak bank.
Tuan Yang di-Pertua, poin ketiga yang mahu saya tekankan adalah penurunan kadar faedah. Memandangkan respons terhadap PTF amat rendah dan tidak banyak permohonan yang diterima, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya menurunkan kadar faedah di bawah pinjaman PTF, atau lebih baik lagi dijadikan pinjaman tanpa faedah sepenuhnya.
Ini secara langsung akan menjadikannya lebih menarik, jumlah permohonan akan meningkat dan dana yang tersedia di bawah PTF dan BPMB tidak terbiar begitu sahaja. Akhir kata, saya memohon maklum balas daripada pihak kerajaan supaya inisiatif-inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Sekian, terima kasih.
Timbalan Menteri Kewangan I [Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah]: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia, Makmur Sentiasa.
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka. Untuk makluman Yang Berhormat, industri kewangan kekal komited untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19, mendapat bantuan dan kemudahan pembiayaan bagi menyokong usaha pemulihan.
Setakat akhir bulan Ogos 2022, institusi kewangan peserta (IKP) telah menerima 800 permohonan pembiayaan berjumlah RM191 juta di bawah Pembiayaan Pelancongan PENJANA atau PENJANA Tourism Financing (PTF).
Daripada angka tersebut, 428 permohonan pembiayaan berjumlah RM90.4 juta telah diluluskan oleh IKP. Sementara itu, 217 permohonan telah ditolak dan selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pemprosesan. Permohonan yang ditolak di bawah PTF adalah disebabkan beban hutang sedia ada yang tinggi serta sejarah pembayaran balik yang tidak memuaskan.
Bagi membantu PKS yang mengalami kekangan dalam pembayaran balik pembiayaan, institusi kewangan sedia menyusun dan menjadualkan semula pinjaman sedia ada. PKS juga boleh mendapatkan perkhidmatan penstrukturan hutang dan khidmat kaunseling melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Selain itu, penambahbaikan kepada PTF telah dilaksanakan oleh BNM seperti:
(i) jumlah pembiayaan maksimum telah dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM500,000;
(ii) PKS boleh menggunakan sebahagian daripada pembiayaan untuk membayar balik pinjaman perniagaan sedia ada dengan institusi kewangan dan pembiaya lain seperti syarikat kredit atau pajakan iaitu pembiayaan semula sehingga 50 peratus daripada amaun pembiayaan PTF yang diluluskan; dan
(iii) tempoh penangguhan pembayaran balik atau moratorium telah ditambah daripada 6 bulan kepada 12 bulan berdasarkan pilihan PKS dan tertakluk kepada kelulusan institusi kewangan.
Tempoh tambahan ini mampu menjadi penampan untuk sektor pelancongan lanjutan pembukaan semula sektor ini dan PKS mula menjana pendapatan. Berkenaan dengan Skim Infrastruktur Pelancongan atau Tourism Infrastructure Scheme (TIS) yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), skim pembiayaan ini disasarkan kepada perniagaan yang memerlukan jumlah pembiayaan yang lebih tinggi iaitu RM5 juta dan ke atas.
Antara contoh projek yang berkelayakan di bawah TIS adalah pembangunan hotel, pusat konvensyen, kemudahan yang berkaitan dengan pendidikan, perubatan atau agropelancongan. Tambahan pula, TIS terbuka kepada perniagaan yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM5 juta dan ke atas. Setakat akhir bulan Jun 2022, sebanyak RM527 juta telah diluluskan.
Tuan Yang di-Pertua, Bagi kadar pembiayaan untuk PTF, kadar konsesi sehingga 3.5 peratus setahun ini adalah lebih rendah daripada kadar pasaran semasa bagi pembiayaan am PKS. Ini disokong lagi dengan dapatan pemain industri bahawa kadar ini boleh diterima berdasarkan maklum balas persatuan PKS dalam sesi libat urus yang telah dijalankan.
Selain kadar pembiayaan yang rendah, langkah bersepadu turut diusahakan kerajaan untuk memulihkan dan mengukuh keupayaan PKS menjana pendapatan yang mampan. Usaha ini mulai berhasil selepas pembukaan sekatan perjalanan pada 1 April 2022, yang menunjukkan peningkatan dalam pengambilan PTF. Sekian, terima kasih.

