PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2022)
PERTANYAAN : BUKAN LISAN (BERTULIS)
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan :-
(a) langkah-langkah yang telah diambil untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Melaka, terutamanya dari segi pembangunan sistem pengangkutan awam; dan
(b) apakah rasional dan status pembinaan tram sebagai mod pengangkutan awam baharu di Melaka sepertimana yang diumumkan oleh Menteri baru-baru ini.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Ketika ini mod pengangkutan awam di negeri Melaka meliputi perkhidmatan bas berhenti-henti, bas ekspres, teksi/kereta sewa serta perkhidmatan e-hailing.
Kerajaan di bawah skim Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) membelanjakan lebih 4 juta setahun untuk menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti di negeri Melaka meliputi 29 laluan dengan jumlah 40 buah bas keseluruhannya.
Sejak tahun 2021 pemantauan prestasi pengendali bas berhentihenti ini dipantau sepenuhnya melalui sistem GPS kenderaan yang telah diintegrasikan ke pusat kawalan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Ini bertujuan untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan pengendali adalah mengikut keperluan tahap perkhidmatan yang telah ditetapkan termasuk dari segi trip dan ketepatan masa bas beroperasi.
Selain daripada itu terdapat 30 pengendali bas ekspres yang menyediakan perkhidmatan dari/ke Melaka dengan purata jumlah perjalanan 186 trip sehari. Dengan penambahbaikan sistem pengangkutan yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri Melaka di harap dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam sekaligus membantu dalam mengurangkan isu kesesakan jalan raya di negeri ini.
Kementerian Pengangkutan juga akan bekerjasama dengan kementerian yang lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk penyediaan infrastruktur bagi menyokong sistem pengangkutan di negeri ini termasuk cadangan penyediaan laluan khas pengangkutan awam di laluan-laluan utama.
Sekian, terima kasih.

