PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2022)
PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka] minta MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR menyatakan :-
(a) kadar penggunaan air terawat di Melaka untuk tahun 2017 – 2021 dan anggaran penggunaan untuk tahun 2022 – 2026;
(b) status terkini projek TAPS Jernih, dan secara spesifiknya mengapa tender pembinaan pada Disember 2020 terpaksa dibatalkan dan ditender semula pada September 2021.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Penggunaan air terawat yang direkodkan di Negeri Melaka berdasarkan kepada pengeluaran loji menunjukkan tren peningkatan dari tahun 2017 hingga 2021 seperti berikut:
i) 2017 – 513.41 (JLH);
ii) 2018 – 528.41(JLH);
iii) 2019 – 539.70 (JLH);
iv) 2020 – 577.93 (JLH); dan
v) 2021 – 604 (JLH).
2. Dengan mengambil kira peningkatan permintaan air (water demand) dan pembangunan yang pesat di Negeri Melaka, anggaran penggunaan air bagi tahun 2022 hingga 2026 adalah:
i) 2022 – 619 (JLH);
ii) 2023 – 635 (JLH);
iii) 2024 – 650 (JLH);
iv) 2025 – 667 (JLH); dan
v) 2026 – 684 (JLH).
Tuan Yang di-Pertua,
3. Tender kerja Projek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka telah dilaksanakan pada 15 Disember 2020. Walau bagaimanapun projek ini ditender semula pada 2 September 2021 dengan mengambil kira keperluan dan kesinambungan projek di bawah seliaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) iaitu Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Jernih dan Sistem Agihan.
4. Walau bagaimanapun, keputusan tender tersebut ditangguhkan sehingga kelulusan siling baharu diperolehi daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri memandangkan terdapat kenaikan kos siling projek berdasarkan kos yang dicadangkan oleh Petender yang menyertai tender.
5. Peningkatan kos projek adalah disebabkan kenaikan kos siling kontrak kerja yang melibatkan skop Preliminaries, Dam Works, Pipelines dan Intake Works berpunca daripada impak kenaikan kos bahan binaan seperti besi tetulang, simen, mild steel pipe dan copper.
6. Projek ini dijangka mula pada bulan Jun 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2024 dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan. Pembinaan TAPS Jernih ini akan menambah 100 JLH air mentah kepada keperluan air Negeri Melaka dan menjadikan jumlah kapasiti air mentah di Negeri Melaka sebanyak 1,154 juta liter sehari. Kapasiti ini dijangka mencukupi bagi memenuhi keperluan Negeri Melaka sehingga tahun 2040.
Sekian, terima kasih.

