MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KEEMPAT
MESYUARAT KEDUA
Khamis, 9 Disember 2021
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Industri EV di Malaysia
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan Kamar Khas pada 9 Disember 2021, hari ini, ialah ‘Industri EV di Malaysia’. Tuan Yang di-Pertua, industri kenderaan elektrik ataupun yang lebih dikenali sebagai Electronic Vehicle (EV) merupakan industri berpotensi tinggi untuk pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Pada tahun 2020, jualan kereta elektrik di dunia menyaksikan peningkatan sebanyak 41 peratus walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19. Saya menyambut baik usaha kerajaan meluaskan industri EV di Malaysia melalui Belanjawan 2022 iaitu terdapat beberapa insentif untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kereta elektrik antaranya, pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan untuk kenderaan elektrik.
Namun, saya mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan beberapa isu dan cadangan untuk perhatian kerajaan. Pertama tentang pembangunan industri EV tempatan. Sebagai permulaan, saya memohon Menteri merumuskan dasar dan ‘blueprint’ terkini kerajaan mengenai industri EV. Ini kerana, negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand telah mempunyai dasar dan ‘roadmap’ yang jelas. Akan tetapi, di Malaysia, saya dimaklumkan oleh penggiat industri bahawa kita tidak mempunyai dasar yang spesifik untuk industri ini.
Selain itu, pada 20 Oktober 2021, MOSTI telah mengeluarkan siaran media yang menyatakan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan industri EV tempatan. Kenyataan tersebut antaranya ada menyebut bahawa “…satu pelan tindakan telah disediakan yang memberi tumpuan kepada industri tempatan melalui pemberian geran penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutamanya industri dan perusahaan tempatan berlandaskan EV”. Kenyataan tersebut amat dialu-alukan. Saya ingin memohon maklumat lanjut mengenai pelan tindakan tersebut dan berapakah jumlah geran yang disediakan untuk tahun 2022?
Kedua, berkenaan motosikal elektrik. Tuan Yang di-Pertua, sebuah ‘survey’ oleh Pew Research Centre menganggarkan 83 peratus daripada isi rumah di Malaysia memiliki motosikal. Selain itu, lebih 400,000 motosikal dijual setiap tahun di Malaysia. Subsektor motosikal elektrik mempunyai potensi dibangunkan bukan sahaja untuk kegunaan tempatan, tetapi untuk menceburi pasaran luar negara. Maka saya memohon penjelasan kerajaan mengenai dasar atau hala tuju daripada segi motosikal elektrik. Saya juga memohon statistik berkenaan jenis motosikal elektrik yang telah diluluskan dan dijual di pasaran Malaysia termasuklah kadar penggunaan dalam kalangan masyarakat.
Ketiga berkenaan stesen pengecas EV. Tuan Yang di-Pertua, isu pokok berkenaan dengan kenderaan elektrik sudah semestinya berkaitan dengan stesen pengecas kereta elektrik. Menurut beberapa laporan, jumlah stesen pengecas di Malaysia adalah amat rendah. Sebuah laporan oleh Tech Wire Asia menganggarkan hanya ada sekitar 500 stesen pengecas jenis AC dan sembilan buah stesen pengecas jenis DC di Malaysia.
Jumlah ini ternyata membimbangkan jika dibandingkan dengan negara jiran kita, Thailand yang mempunyai lebih 1,400 stesen AC dan 771 stesen DC. Maka, saya memohon penjelasan daripada kerajaan, khususnya, daripada segi langkah-langkah dan sasaran untuk meningkatkan jumlah stesen pengecas EV Sekian, terima kasih.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi [Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim]: Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat atas sokongan terhadap kerajaan dalam usaha memperkembangkan industri Electric Vehicle (EV) di Malaysia melalui penawaran pelbagai insentif di bawah Belanjawan 2022, seperti pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan.
Untuk makluman Yang Berhormat, sebagai permulaan di dalam menghasilkan satu dasar EV yang komprehensif bagi negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri mengenai Dasar Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia kepada Jemaah Menteri pada bulan September 2021.
Dalam hal ini, Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri turut menyokong penubuhan dasar ini yang didapati selari dengan perkembangan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 yang sedang di dalam penyediaan oleh EPU Jabatan Perdana Menteri.
Aspirasi EV ini turut mengambil kira fokus yang terkandung di dalam Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), Dasar Pengangkutan Negara (NTP 2019-2030), Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 dan selaras dengan sasaran Neutral Karbon 2050 melalui penggunaan mobiliti elektrik yang meluas di dalam Keluarga Malaysia.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, MOSTI melalui NanoMalaysia, akan meneruskan agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai pencipta dan pengeluar komponen teknologi EV melalui Program Revolution yang membawa fokus kepada pembangunan dan pengkomersilan teknologi tenaga diperbaharui sistem storan tenaga dan kenderaan elektrik serta diperkasakan dengan Internet of Nano Things.
Bagi MOSTI pula, Dasar Pembangunan EV ini adalah disokong oleh rangka kerja 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economy (MySTIE). Bidang-bidang terangkum di dalam dasar ini telah dikenal pasti sebagai pemacu sosioekonomi antaranya sebagai bidang tenaga, bandar pintar dan pengangkutan serta alam sekitar dan biodiversiti.
Selain itu juga, sebagai pemacu sains dan teknologi antaranya seperti, teknologi biosains, teknologi dan sistem pintar termasuk Advanced Intelligent Systems, sensor technology dan advanced material yang merupakan bahagian kritikal di dalam pembangunan EV dan Next-Generation Vehicles (NxGV).
Bagi menyokong industri EV tempatan pula, kerajaan melalui MOSTI juga telah menyediakan Geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Saya=sehingga kini, MOSTI telah membiayai empat projek berkaitan kereta elektrik EV dengan kos berjumlah sebanyak RM28.16 juta di bawah dana Malaysia Grand Challenge (MGC). Manakala, 12 lagi projek berkaitan EV sedang di dalam penelitian dan pertimbangan pembiayaan geran R&D MOSTI.
Sebuah agensi di bawah MOSTI, NanoMalaysia Bhd (NMB) telah mengambil langkah awal menerajui pembangunan industri teknologi EV tempatan yang bermula di bawah Program Pengkomersilan Nano Teknologi RMKe-11 (2016-2020), yang telah berjaya menghasilkan dua projek berimpak tinggi yang telah dilaksanakan oleh NanoMalaysia Bhd iaitu Program Hydrogen EcoNanoMy yang membangunkan Sistem Teknologi Simpanan Pepejal Hidrogen Electrolyzer , komponen sel-fuel dan Nanotech Remote Energy System yang berkait dengan pembangunan sistem pengecasan EV tanpa wayar.
MIMOS Berhad dan NanoMalaysia Bhd juga telah mengenal pasti kelompok teknologi dan system on-board EV serta NxGV seperti sensor dan sensor fusion, electric drivetrain, electric powertrain dan advanced battery technology, dengan izin, bagi usaha pembangunan R&D eksperimental di Malaysia.
Seterusnya juga, saya ingin mengatakan sokongan terhadap pandangan Yang Berhormat bahawa subsektor motosikal elektrik adalah berpotensi tinggi di dalam pasaran tempatan dan kemudahan berkaitan perlu diperkembangkan. Oleh itu, Dasar Pembangunan EV Negara, secara berterusan akan turut menyokong pembangunan ekosistem EV serta mobiliti mikro EV, iaitu kenderaan elektrik dua roda seperti motosikal dan scooter yang secara khususnya di Malaysia.
Dalam hal ini, hala tuju MOSTI daripada segi pembangunan teknologi motosikal elektrik dan mobiliti mikro EV meliputi yang pertama, pembangunan teknologi penyimpanan tenaga melalui Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia atau NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI) dan teknologi Hydrogen Energy Storage System (HESS).
Kedua, penyepaduan stesen pengecas hijau, pertukaran bateri, penggunaan fuel-cell hydrogen, integrasi ultrakapasitor berasaskan graphene dan sistem nano atau microgrid bagi pembangunan pasaran dan ekosistem mobiliti mikro. Ketiga, pembangunan dan penggunaan sistem pertukaran bateri untuk motosikal elektrik sebagai alternatif kepada sistem pengecasan bateri yang mengambil masa yang lama.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga menyambut baik cadangan Yang Berhormat supaya jumlah stesen pengecas EV dalam negara ini ditingkatkan. Pada masa ini, adalah dianggarkan sebanyak 500 buah battery electric vehicle (BEV) atau kenderaan elektrik berkuasa bateri sepenuhnya digunakan di dalam negara.
Kenderaan ini berbeza dengan kenderaan jenis plug-in hybrid electric vehicle iaitu bateri boleh dicas menggunakan kuasa enjin pembakaran dalaman (internal combustion engine). Pertambahan bilangan kenderaan elektrik dalam negara ini semestinya memerlukan ketersediaan kemudahan infra yang mencukupi demi kelestarian industri ini. Namun begitu, kos penyediaan infra atau stesen pengecas yang tinggi serta pulangan pelaburan yang rendah pada ketika ini menjadi faktor penghalang bagi sektor swasta bagi menerajui industri ini.
Dalam hal ini, peranan kerajaan dan agensi di bawahnya seperti PETRONAS adalah penting bagi memastikan kemudahan infrastruktur adalah mencukupi bagi perkembangan industri EV di dalam negara. Tumpuan perlu diberikan kepada pendorongan perkembangan infrastruktur EV yang kritikal seperti pengecasan bateri dan teknologi komunikasi berkaitan. Peranan MOSTI di dalam merevolusikan kemudahan pengecasan EV di Malaysia adalah melalui pertama, Projek Stesen Pengecasan EV System of Grade menggunakan tenaga diperbaharui. Kedua, juga melalui sistem pengecasan tanpa wayar (wireless charging).
Melalui Electric Mobility Blueprint (EMB) yang telah dilancarkan pada tahun 2015, sasaran jumlah stesen pengecas elektrik di seluruh negara menjelang tahun 2020 telah ditetapkan sebanyak 125,000 unit. Namun begitu, pencapaian sehingga bulan Disember 2020 hanya ada 400 buah stesen. Sasaran 125,000, tetapi yang ada cuma 400 buah stesen pengecas. Salah satu faktor yang menyumbang kepada jumlah stesen pengecas EV di Malaysia lebih rendah daripada sasaran ialah kekangan peruntukan dan insentif oleh pihak kerajaan.
Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyambut baik inisiatif pihak berkuasa tempatan yang menyediakan pusat pengecasan kenderaan EV di kawasan yang strategik. Sebagai contoh, terdapat 14 buah PBT yang menyediakan stesen pengecasan EV antaranya di Majlis Bandar Raya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Malaysian Green Technology Corporation, telah menyediakan sebanyak 216 lokasi EV charger di Malaysia dan hampir 60 peratus adalah bertumpu di Lembah Klang. Selain itu, GreenTech Malaysia juga bersama PETRONAS sedang bekerjasama di dalam membangunkan stesen pengecas kenderaan elektrik di stesen-stesen PETRONAS di lebuh raya utama di Semenanjung, Malaysia.
Pada masa ini terdapat sejumlah 61 stesen pengecas EV jenis alternating current (AC) di bawah rangkaian PETRONAS. Kemudahan stesen pengecas EV ini ditawarkan secara percuma kepada pengguna melalui inisiatif awam-swasta. Ia juga merupakan antara inisiatif awal untuk menggalakkan pemilikan EV di Malaysia. ChargEV menyediakan rangkaian stesen pengecasan berdasarkan konsep langganan sebanyak RM240 setahun untuk mengakses semua stesen pengecasan EV yang terletak di seluruh negara tanpa had.
Dengan inisiatif-inisiatif yang positif, kerajaan yang telah dibentangkan di dalam Belanjawan 2022, bilangan stesen pengecas AC dan DC dijangka akan meningkat, sebagai contoh, MARii dan PEKEMA menyasarkan sebanyak 1,000 stesen pengecas DC menjelang tahun 2025. Manakala, PETRONAS bersama rakan kerjasamanya Mercedes dan EV Connection Sdn Bhd telah bersetuju untuk memasang lima stesen pengecas DC di dalam pertengahan tahun pertama 2022. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

