PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan perincian mengenai Pelan Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan untuk syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC), dan adakah Kerajaan bercadang untuk meluaskan skop PERKUKUH untuk meliputi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, termasuk GLC di peringkat Kerajaan negeri.
JAWAPAN
Tan Sri Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan pada 12 Ogos 2021 telah melancarkan Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) yang memberi fokus kepada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau Government Linked Investment Companies (GLIC) seperti berikut:-
i. Khazanah Nasional Berhad;
ii. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP);
iii. Permodalan Nasional Berhad (PNB);
iv. Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT);
v. Lembaga Tabung Haji (LTH);
vi. Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP); dan
vii. Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
2. PERKUKUH dizahirkan untuk mencapai lima hasil utama iaitu memperjelas mandat setiap GLIC, peningkatan fokus kepada pelaburan pembangunan untuk memacu pertumbuhan baharu, menyemarakkan sektor swasta, menyiap siaga GLIC bagi masa hadapan melalui peningkatan tadbir urus dan keupayaan serta mengukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal GLIC.
3. Pada masa ini PERKUKUH melibatkan GLIC yang mana Kerajaan Persekutuan mempunyai kawalan ke atasnya. Bagi Syarikat Pelaburan Kerajaan atau Government Linked Companies (GLC) di bawah Kerajaan Negeri, sebarang pelaksanaan inisiatif adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Negeri masing-masing.
Sekian, terima kasih.

