PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BUKAN LISAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA,
PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [ Kota Melaka ] minta MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR menyatakan :-
(a) apakah status projek TAPS Jernih dan TAPS Melaka, termasuklah kerja-kerja yang telah dijalankan dan peratusan siap; dan
(b) apakah langkah-langkah lain yang telah atau sedang diambil untuk mengatasi masalah bekalan air mentah di Melaka.
JAWAPAN
Tuan Yang Di-Pertua,
(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, status terkini projek-projek yang dimaksudkan tersebut adalah seperti berikut:
i. Projek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka
Status semasa pelaksanaan adalah diperingkat rekabentuk terperinci dan juga penyediaan pelan pengambilan balik tanah. Tender kerja bagi projek ini dijangka akan dilaksanakan pada Mac 2022 dan jangka mula projek pada September 2022. Pelaksanan projek mengambil masa selama 5 tahun dan dijangka siap pada September 2027.
ii. Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih Projek ini telah ditender pada Disember 2020, namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, projek ini perlu ditender semula. Terkini, iklan tender telah dikeluarkan pada 2 September 2021 dan projek dijadualkan bermula pada Februari 2022 dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan. TAPS Jernih dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024.
Untuk makluman Yang Berhormat, projek TAPS Jernih akan menambah 100JLH air mentah kepada keperluan air negeri Melaka, manakala projek TAPS Melaka pula akan meningkatkannya sebanyak 310JLH dan menjadikan jumlah kapasiti air mentah di Negeri Melaka sebanyak 1,154JLH dan ini dijangka mencukupi bagi memenuhi keperluan sehingga tahun 2040.
Tuan Yang Di-Pertua,
(b) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, langkah-langkah lain yang sedang diambil oleh Kementerian bagi meningkatkan bekalan air mentah di Melaka sepertimana yang telah diluluskan di dalam Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Kedua belas (RP1, RMKe-12) adalah seperti berikut:
i. Projek Penyaluran Air Mentah Dari Sungai Kesang Dan Tasik Biru Ke Empangan Jus, Daerah Jasin, Melaka.
Kos yang diluluskan bagi projek ini adalah sebanyak RM150 juta. Tender pelantikan perunding dijangka akan dibuat pada Oktober 2021 dengan Surat Setuju Terima dikeluarkan kepada perunding dijangka pada Februari 2022. Iklan tenderkerja pula dijangka dikeluarkan pada Ogos 2023 dengan Surat Setuju Terima kepada kontraktor dikeluarkan pada Disember 2023. Tempoh projek adalah selama 18 bulan dan dijangka siap pada Jun 2025.
ii. Kajian Kebolehlaksanaan Penyaluran Air Sungai Muar, Fasa 3 (Rumah Pam Grisek-Empangan Durian Tunggal)
Kos yang diluluskan bagi projek ini adalah sebanyak RM3 juta. Status semasa adalah diperingkat perolehan perkhidmatan perunding dan Surat Setuju Terima perunding dijangka dikeluarkan pada Oktober 2021. Kajian ini adalah selama 15 bulan dan dijangka siap pada Januari 2023.
iii. Projek Menaiktaraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal Sebagai Kolam Dwi-fungsi Untuk Tebatan Banjir dan Sumber Air Negeri Melaka Kos yang diluluskan bagi projek ini adalah sebanyak RM 600 juta. Melalui projek ini, kolam tebatan banjir sediada akan dinaiktaraf supaya berfungsi secara dwi-fungsi sebagai kolam tebatan banjir dan sumber air tambahan bagi negeri Melaka. Projek ini akan dilaksanakan secara Reka dan Bina dan status semasa adalah dalam proses penyediaan Kehendak Kerajaan (Governments Requirement’s) untuk melengkapkan Dokumen Pre-Bid sebelum boleh di tender. Surat Setuju Terima dijangka dikeluarkan pada Julai tahun 2022 dan tempoh projek adalah selama 5 tahun.
Sekian, terima kasih

