PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2021
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan penggunaan peruntukan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 sejak ditubuhkan, termasuk baki yang masih ada dan
apakah strategi Kerajaan selanjutnya untuk menambah/meningkatkan dana bagi menampung perbelanjaan tambahan melalui Kumpulan Wang COVID-19 ini.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Setakat bulan September 2021, perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19 (atau KWC-19) telah mencecah RM60 bilion ringgit atau melebihi 90% peratus daripada had siling RM65 bilion ringgit yang diluluskan Parlimen pada hujung tahun 2020.
2. Pada 10 September 2021, Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan Kementerian Kewangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) bagi perkara-perkara seperti berikut:
a. Pertama, meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID19 (KWC) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion; dan
b. Kedua, meningkatkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60% kepada 65% peratus kepada
KDNK
3. Pindaan Rang Undang-Undang ini akan dibentangkan di dewan yang mulia ini pada minggu kedua bulan Oktober 2021 kelak. Peningkatan had siling KWC-19 ini adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan terutamanya untuk:
a. Pertama, bantuan tunai kepada golongan rentan yang masih terkesan akibat wabak COVID-19;
b. Kedua, sokongan untuk kelangsungan perniagaan termasuk insentif penggajian bagi menggalakkan pemulihan peluang pekerjaan selaras dengan pembukaan semula ekonomi; dan
c. Ketiga, peruntukan tambahan bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan awam berkaitan COVID-19
4. Sehubungan itu, peningkatan siling tersebut adalah penting untuk memenuhi keperluan perbelanjaan dalam suku keempat tahun 2021 serta tahun 2022.
Sekian, terima kasih.