KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KEEMPAT
MESYUARAT PERTAMA
Khamis, 7 Oktober 2021
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Mohd Rashid Hasnon) mempengerusikan Mesyuarat]
UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)
Dasar Saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, isu yang ingin saya utarakan hari ini adalah mengenai dasar saringan COVID-19 yang diamalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak tersebut.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, jumlah kes COVID-19 di Malaysia masih amat tinggi walaupun pelbagai fasa dan bentuk Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) telah dilaksanakan sejak awal tahun ini. Peningkatan kes ini bukan sahaja disebabkan oleh varian baharu seperti Delta, tetapi juga kerana jumlah saringan COVID-19 yang dijalankan di peringkat komuniti tidak mencukupi. Kesannya, kadar positif (positive rate) di Malaysia telah melonjak melebihi 10 peratus pada bulan Ogos yang lepas.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak memberi sebuah contoh kejadian yang telah berlaku di Melaka iaitu di Flat Pantai Peringgit, virus COVID-19 telah tular di peringkat komuniti sehingga meragut empat nyawa penghuni di flat tersebut. Terdapat sebuah keluarga yang kemudiannya mula menunjukkan gejala COVID19, iaitu demam, batuk dan hilang deria bau. Keluarga ini telah pergi ke klinik kesihatan KKM yang terdekat bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan saringan. Namun, mereka diberitahu bahawa mereka tidak akan disaring kerana bukan kontak rapat atau golongan yang berisiko tinggi walaupun mereka telah menunjukkan gejala COVID-19 yang jelas dan terdapat kes positif di flat yang mereka tinggal.
Selepas beberapa hari, keluarga tersebut kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat saringan di klinik swasta walaupun memerlukan bayaran yang amat tinggi. Apabila keputusan keluar, seluruh keluarga didapati positif COVID-19. Tuan Yang di-Pertua, daripada kejadian ini kita dapat lihat betapa bahayanya jika contact tracing dan saringan tidak dijalankan dengan betul dan meluas. Jika keluarga tersebut tidak membuat saringan sendiri, kemungkinan virus tersebut akan terus merebak dan menyebabkan kematian.
Selain itu, timbul juga persoalan sama ada perkara sedemikian berlaku kerana KKM kekurangan peruntukan ataupun kapasiti untuk menjalankan saringan COVID-19. Maka dengan ini saya memohon penjelasan lanjut daripada pihak KKM mengenai dasar saringan COVID-19 yang diamalkan dan mengapakah kejadian seperti di Flat Pantai Peringgit boleh berlaku, di mana seseorang yang bergejala masih tidak disaring? Selain itu, saya juga memohon KKM menjelaskan apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk meningkatkan jumlah saringan dan menurunkan kadar positif COVID-19 di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Menteri Kesihatan I [Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali]: Bismillahi Rahmani Rahim. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka.
Tuan Yang di-Pertua, insiden yang dilaporkan ini tidak sepatutnya terjadi iaitu di mana individu bergejala yang datang ke klinik kesihatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dan saringan bagi COVID-19 telah tidak dikendalikan sebagaimana surat arahan bertarikh 2 Ogos 2021 yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka. Melalui surat arahan ini, strategi baharu bagi mengurangkan lonjakan kes COVID-19 di negeri Melaka telah digariskan yang antara lain turut memberikan lebih fokus kepada aktiviti saringan dalam kalangan individu bergejala.
Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia untuk membuat siasatan lanjut terhadap aduan insiden di Flat Pantai Peringgit yang dibangkitkan ini. Dalam hal ini, kerjasama Ahli Yang Berhormat adalah dimohon untuk mengemukakan butiran lanjut keluarga terlibat berserta nama klinik kesihatan di mana insiden ini berlaku, termasuk tarikh dan masa lawatan tersebut kepada pihak JKN Melaka. Melalui maklumat yang diberikan ini, siasatan lanjut akan dapat dijalankan oleh pihak JKN Melaka seterusnya membantu mereka untuk mengenal pasti punca dan mengelakkan ia dari berulang semula pada masa hadapan.
Untuk makluman, secara purata tempoh inkubasi COVID-19 adalah sekitar 14 hari. Dalam tempoh ini, kehadiran virus dalam badan seseorang individu mengalami peningkatan bermula pada hari pertama seseorang individu dijangkiti. Bagi membolehkan ujian PCR COVID-19 mampu mengesan kehadiran virus semasa ujian dilaksanakan dan memberikan KKDR.7.10.2021 9 keputusan positif, bebanan virus (viral load) di dalam tubuh individu tersebut perlu berada pada suatu tahap yang cukup tinggi untuk ia dikesan.
Oleh itu, keputusan ujian adalah merupakan status individu tersebut pada ketika tempoh masa ia dilaksanakan sahaja. Ia hanya terpakai untuk suatu tempoh yang amat singkat dari tarikh ia dijalankan sebagai suatu proksi. Suatu senario sebagai contoh situasi yang berlaku, seorang individu terdedah kepada jangkitan pada hari pertama dan kini virus tersebut telah berada di dalam badan beliau serta memulakan proses replikasi. Beliau menjalani ujian pada hari kedua, namun pada ketika itu bebanan virus (viral load) di dalam tubuhnya belum berada pada suatu tahap yang cukup tinggi untuk ia dikesan. Ini akan menyebabkan beliau dikesan sebagai negatif. Melalui aktiviti seharian, beliau seterusnya berpotensi untuk menyebarkan virus yang kini telah berada di dalam tubuhnya kepada orang lain di persekitarannya terutama sekali sekiranya beliau leka dalam mematuhi amalan norma baharu.
Kesimpulannya, ujian COVID-19 bukanlah suatu perkara rutin yang perlu dijalani oleh anggota masyarakat. Ujian ini sebaik-baiknya dilaksanakan apabila terdapat indikasi yang kukuh untuk berbuat demikian. Virus COVID-19 telah berada di persekitaran kita. Penularannya adalah suatu proses yang dinamik, berbanding dengan aktiviti pengujian yang bersifat statik. Mengambil kira risiko pendedahan tersebut, apa yang lebih penting adalah pematuhan kepada standard operating procedure (SOP) wajib dipatuhi pada setiap masa oleh setiap ahli masyarakat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pendekatan mass testing secara bersasar diguna pakai oleh KKM sejak bermulanya pandemik COVID-19 di Malaysia sehingga kini, di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi lokaliti-lokaliti yang dikenal pasti. Ini dapat memastikan pengurusan sumber yang berkesan dan bertepatan, mengambil kira keupayaannya untuk memaksimumkan keberhasilan daripada aktiviti saringan yang dilaksanakan. Ini dibandingkan pula dengan pendekatan saringan mega atau ujian secara besar-besaran yang akan memberikan bebanan kepada kapasiti perkhidmatan kesihatan sedia ada dan juga bebanan tambahan kepada keperluan kewangan, serta secara tidak langsung gangguan kepada penghidupan (livelihood) rakyat yang terkesan apabila pelaksanaan aktiviti secara besar-besaran ini.
Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, kerajaan telah memperkenalkan penggunaan kit ujian pantas antigen kendiri. Sehingga 3 September 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memberikan kelulusan bersyarat bagi pengimportan dan pengedaran untuk sejumlah 18 kit ujian kendiri COVID-19. Kelulusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira kepentingan kesihatan dan keselamatan awam selain menyedari keperluan penggunaan oleh orang awam dalam membantu memudahkan proses pengesanan dan pengawalan jangkitan COVID-19 sekali gus membantu mengurangkan bebanan petugas kesihatan.
Penggunaan kit ujian ini tidak menggantikan fungsi diagnostik Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), tetapi boleh digunakan oleh orang awam untuk menjalankan saringan kendiri bagi mendapat keputusan mengenai status jangkitan COVID19 dengan cepat dan mudah sebelum tindakan selanjutnya diambil. Langkah-langkah – ini soalan kedua. Langkah-langkah yang akan diambil untuk meningkatkan jumlah saringan dan menurunkan kadar positif COVID-19. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan jumlah ujian saringan COVID-19 di Malaysia bertujuan untuk mempertingkatkan pengesanan dan kawalan wabak COVID-19 seperti berikut;
Pertama, meningkatkan kapasiti perkhidmatan ujian makmal RT-PCR khususnya di fasiliti KKM dan agensi-agensi kerajaan lain dan fasiliti swasta bagi menampung keperluan peningkatan ujian RT-PCR COVID-19. Sehingga 16 September 2021, bilangan makmal di seluruh Malaysia yang telah diluluskan untuk menjalankan pengujian RT-PCR bagi SARS COV-2 adalah sebanyak 99 buah makmal dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 121,803 pengujian sehari. Purata ujian harian bagi Sept 2021 dari 1 sehingga 15 September adalah 65,000 ujian sehari, yang mana penggunaan kapasiti makmal sedia ada hanya pada tahap 53 peratus.
Kedua, menggalakkan penggunaan saringan ujian COVID-19 menggunakan kit ujian pantas Rapid Test Kits Antigen (RTK Antigen) di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta bagi mendapatkan keputusan ujian yang pantas, bertujuan untuk tindakan pencegahan dan kawalan dengan segera. Ujian ini disasarkan kepada individu yang bergejala atau mempunyai kontak rapat kepada kes positif dan memenuhi kriteria saringan. Saringan menggunakan R RTK Antigen juga digalakkan dalam aktiviti saringan di sektor-sektor pendidikan, perindustrian dan pelancongan termasuk sektor pelancongan dan sektor sosial. Saringan COVID-19 menggunakan ujian RT-PCR atau RTK Antigen juga disasarkan kepada kumpulan yang berisiko iaitu di: (i) pintu masuk antarabangsa dan domestik; (ii) pusat-pusat tahanan; dan (iii) pusat-pusat jagaan jangka masa panjang seperti pusat jagaan warga emas.
Kerajaan juga menggalakkan komuniti untuk mengambil tanggungjawab bersama dan inisiatif dengan melakukan ujian kendiri menggunakan kit ujian pantas. Bagi meningkatkan lagi penggunaan kit ujian kendiri RTK Antigen di kalangan rakyat Malaysia dan memastikan harga adalah mampu milik, penetapan harga siling telah dilakukan pada 5 September 2021. Harga siling yang telah diluluskan untuk kedai runcit adalah RM19.90 dan RM16.00 bagi harga pukal. Sekian, terima kasih

