KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KEEMPAT
MESYUARAT PERTAMA
Selasa, 21 September 2021
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)
Reformasi Proses Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan saya pada hari ini ialah Reformasi Proses Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tuan Yang di-Pertua, proses pilihan raya wajar ditambah baik bagi meningkatkan integriti dan kelancaran pilihan raya di Malaysia, khususnya dalam konteks pandemik COVID-19 ini.
Saya mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan beberapa isu mengenai proses pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Isu yang pertama, Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik (PPA). Pada bulan Julai 2019, Dewan Rakyat telah sebulat suara meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan memperkenalkan proses Pendaftaran Pemilih Automatik (PPA).
Namun, sehingga kini SPR belum melaksanakan pemindaan ini. SPR telah berkata bahawa terdapat urusan teknikal yang perlu diselesaikan sebelum perkara ini boleh dikuatkuasakan. Saya ingin memohon SPR dan kerajaan menyatakan secara terperinci apakah isu-isu teknikal yang sedang dihadapi ini. Selain itu, saya juga ingin memohon SPR memberikan garis masa terkini untuk pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik (PPA).
Isu kedua iaitu kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara adil. Sebagai sebuah badan yang begitu penting, SPR perlu bersifat accountable dan telus. Dalam erti kata lain, SPR tidak terkecuali daripada pemantauan untuk tujuan semak dan imbang. Maka, persoalannya, apakah cara terbaik untuk memantau SPR dan SPR sepatutnya lapor kepada siapa. Buat masa ini, SPR terletak di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri.
Contohnya, kita boleh lihat hari ini Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang akan menjawab bagi pihak SPR. Pada pendapat saya, SPR sepatutnya lapor kepada Parlimen secara langsung. Pada bulan Oktober 2019, Parlimen telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) untuk pilihan raya bagi tujuan ini.
Malangnya, jawatankuasa tersebut telah dimansuhkan ketika Kerajaan Perikatan Nasional mengambil-alih. Menurut Yang Berhormat Menteri pada ketika itu, fungsi pemantauan SPR boleh dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Struktur ini tidak sesuai kerana ini bermakna kerajaan menganggap SPR sebagai sebuah agensi Jabatan Perdana Menteri. Selain itu, terdapat lebih 40 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Maka, bolehkah Jawatankuasa Pilihan Khas ini memantau SPR dengan berkesan?
Maka, saya meminta penjelasan daripada kerajaan yang baharu ini, sama ada kerajaan akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Dewan untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Pilihan Khas-Pilihan Raya.
Isu ketiga berkaitan dengan pelantikan Ahli SPR. Proses pelantikan Ahli-ahli SPR adalah sangat penting bagi memastikan kebebasan SPR. Di bawah Perlembagaan, tujuh orang Ahli SPR dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong. Namun secara praktikalnya, pencalonan adalah oleh pihak kerajaan.
Maka dengan ini saya meminta penjelasan tentang apakah proses dan kriteria yang diguna pakai oleh kerajaan ketika melaksanakan proses pelantikan Ahli SPR dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memastikan proses ini telus dan bebas. Sekian, terima kasih.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri amat menghargai dan mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Kota Melaka yang telah mengemukakan ucapan di bawah Usul berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan (Peraturan Mesyuarat 17), berkaitan Reformasi Proses Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat telah membangkitkan tiga isu dalam usul tersebut dan penjelasannya adalah seperti berikut; Pertama Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik (PPA). Untuk makluman Yang Berhormat, SPR sedang dalam persiapan untuk melaksanakan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu berhubung dengan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik sebagaimana yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Keempat Belas yang lalu.
Persiapan yang sedang dilaksanakan oleh SPR ini adalah meliputi pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undangundang lain yang berkaitan, penyediaan Standard Operating Procedures (SOP), penyediaan sistem serta infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan juga pendaftaran pemilih secara automatik.
Di samping itu juga, SPR telah pun mengenal pasti beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan sebelum pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik. Antaranya, ialah membuat semakan maklumat bakal pemilih, semakan di lapangan yang melibatkan bakal pengundi berumur 90 tahun dan ke atas, semakan di lapangan ke atas alamat untuk memastikan penentuan bahagian pilihan raya yang tepat, sesi libat urus dengan semua pihak-pihak yang berkepentingan, program pendidikan pengundi kepada bakal pemilih dan juga menyemak keperluan logistik bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang.
SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan termasuklah isu-isu yang berkaitan ini akan dapat diselesaikan dan seterusnya melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada September 2022. Namun begitu, keputusan semakan kehakiman isu Undi18 di Mahkamah Tinggi Kuching telah pun memerintahkan supaya umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021.
Jadi, apabila Yang Berhormat bertanya sebentar tadi berkenaan dengan tentang garis masa, iaitu walaupun dengan kekangan dan juga serba kekurangan, SPR komited untuk memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan berdasarkan kepada keputusan mahkamah.
Kedua berkenaan dengan kebebasan SPR. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, SPR ditubuhkan di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang Persekutuan dalam melaksanakan tiga fungsi utamanya sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu menjalankan pilihan raya, menyediakan dan menyemak daftar-daftar pemilih pilihan raya dan mengkaji persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya.
Penubuhan SPR adalah di bawah mandat eksekutif dan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran dan pengurusan am SPR sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan, akta dan peraturan-peraturan pilihan raya berkaitan untuk memastikan pilihan raya melalui proses yang bebas dan adil agar demokrasi negara kekal terpelihara.
Saya juga hendak menambah di sini bahawa, Yang Berhormat Menteri juga telah menyatakan bahawa beliau akan fokus terhadap transformasi Parlimen, transformasi kerajaan dan juga Perkara MA63. Saya merasakan bahawa itu juga adalah sebagai undertake beliau untuk sama-sama memastikan ketelusan dan juga proses demokrasi dan juga adil yang berlaku dalam negara kita ini, insya-Allah.
Ketiganya, pelantikan Ahli SPR. Berhubung isu pelantikan Ahli SPR, di bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Malaysia, keanggotaan SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja. Manakala, peruntukan berkaitan saraan, keistimewaan dan perlindungan Ahli-ahli anggota SPR adalah sebagaimana termaktub di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957. Sekian, terima kasih.

