PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BUKAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA 2020, PENGGAL KETIGA,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : Tuan Khoo Poay Tiong [ Kota Melaka ]
SOALAN
Tuan Khoo Poay Tiong [ Kota Melaka ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan:-
(a) negara-negara manakah yang tidak membenarkan pelajar-pelajar Malaysia untuk pulang ke negara tersebut untuk menyambung pengajian mereka di universiti (khususnya untuk negara China); dan
(b) adakah Malaysia membenarkan pelajar dari negara luar untuk datang ke Malaysia untuk menyambung pengajian mereka di universiti.
JAWAPAN
(a)
Penularan wabak jangkitan COVID-19 yang sedang berlaku di hampir seluruh dunia telah menjadi isu dan cabaran utama kepada bukan sahaja Kerajaan Malaysia, tetapi juga seluruh masyarakat dunia. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat prihatin dengan keadaan para pelajar Malaysia di luar negara dan sentiasa memantau keadaan pelajar dari semasa ke semasa melalui pejabat Education Malaysia Luar Negara. Pihak KPT turut mendapatkan maklumat terkini mengenai pembukaan sempadan negara bagi pelajar Malaysia untuk menyambung pengajian mereka di negara-negara berkenaan.
Sehingga 25 November 2020, beberapa negara masih lagi tidak membenarkan kemasukan pelajar Malaysia ke negara-negara berkenaan. Contohnya, Kerajaan Australia masih mengekalkan sekatan perjalanan ke Australia. Hanya warganegara Australia, penduduk tetap dan keluarga terdekat sahaja yang boleh melakukan perjalanan ke Australia. Begitu juga Bahrain, Oman, Qatar dan Saudi Arabia yang dilaporkan hanya membuka sempadan kepada warganegara dan penduduk (residents) yang berhasrat untuk pulang ke negara mereka. Institusi pengajian tinggi di kesemua negara berkenaan juga masih belum dibuka.
Selain itu, Kesatuan Eropah (EU) hanya membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa baru dan sedia ada sekiranya Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mereka dilaksanakan secara bersemuka sahaja.
Negara Amerika Syarikat dan Kanada juga turut tidak membenarkan pelajar baru untuk mengikuti pengajian sekiranya PdP hanya dilaksanakan secara dalam talian. Walau bagaimanapun, visa pengajian akan dipertimbangkan kepada pelajar baru yang mengikuti PdP secara hybrid bermula semester musim bunga (Februari sehingga Ogos).
Selain itu, sehingga 25 November 2020, negara Taiwan, Hong Kong, China, Iran, Jepun dan Rusia masih belum membenarkan kemasukan sebarang pelajar antarabangsa ke negara mereka.
(b)
Pihak Kerajaan prihatin akan keperluan untuk membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa yang berada di luar negara untuk datang ke Malaysia bagi tujuan untuk menyambung pengajian mereka di Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia. Sehubungan itu, KPT telah mengadakan sesi libat urus secara berterusan dari semasa ke semasa bersama semua agensi berkaitan termasuklah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Institusi Pendidikan Tinggi bagi memudahcara kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia.
Terkini, satu sesi perjumpaan di antara Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Imigresen pada 7 Oktober 2020 bagi membincangkan hal-hal berkaitan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia telah diadakan dan susulan daripada sesi perjumpaan tersebut, satu persetujuan telah dicapai untuk membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa sedia ada ke Malaysia dan surat pemakluman mengenai keputusan ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bertarikh 18 Oktober 2020.
Sehubungan itu, buat masa ini, semua pelajar antarabangsa sedia ada adalah dibenarkan masuk ke Malaysia bagi tujuan untuk menyambung pengajian, termasuk pelajar yang telah menerima kebenaran kemasukan ke Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi 23 buah negara yang disekat kerana memiliki bilangan kes harian yang tinggi dan mencecah lebih daripada 150,000 kes, contohnya Mexico, Argentina, Iran dan Bangladesh, kemasukan semua pelajar dari negara-negara berkenan adalah ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Kerajaan. Walau bagaimanapun, semua pelajar antarabangsa yang dibenarkan masuk perlu mematuhi semua peraturan dan SOP semasa yang ditetapkan oleh Kerajaan.

